KUALA LIPIS - “Sejak diserang angin ahmar Mac 2015, ayah hanya terlantar di atas katil dan mengharapkan sepenuhnya bantuan dari ahli keluarga untuk menguruskan diri.

Demikian kata Latifah Abd Hamid, 58, anak kepada mantan Ketua Kampung Tanjung Lipis, Abd Hamid Mohd Nor, 78, yang kini tidak lagi mampu bergerak.

Mengimbas kembali kejadian tiga tahun lalu Latifah berkata, bapanya baru selesai menunaikan solat Asar di rumah dan ingin menikmati juadah petang sebelum diserang strok.

“Masa ayah nak suap kuih kali kedua tiba-tiba dia tak boleh mengunyah dan kami terus bawa ayah ke Hospital Lipis.

“Sejak tu ayah tak mampu bercakap dan boleh angkat tangan kanan saja selain bergantung sepenuhnya pada susu khas diberi melalui tiub. Segala keperluan dan kebersihan diri diuruskan mak dan adik-beradik lain,” katanya.

Dia berkata demikian ketika menerima kunjungan sempena Program Ziarah Kasih daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Pahang yang disampaikan oleh Timbalan Pegawai Kemajuan negeri, Datuk Noorzila  Manaf.

Latifah berkata, sebanyak RM3,000 sebulan diperuntukkan untuk membeli susu khas, lampin pakai buang dan ubat-ubatan dan wang itu hasil kutipannya bersama tujuh beradik lain.

"Kami sekeluarga bersyukur sebab ada pemimpin setempat termasuk Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad yang sentiasa prihatin dengan nasib ayah dan sumbangkan kerusi roda bagi memudahkannya bergerak.

Sementara itu, Noorzila berkata, Abd Hamid antara 25 individu terdiri daripada golongan kurang bernasib baik menerima hamper barangan keperluan harian bernilai RM100 setiap satu.

"Pemberian ini diharap dapat meringankan beban mereka menjalani ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kunjungan ini bertujuan untuk menyantuni mereka yang kurang berkemampuan dan menghulurkan sedikit bantuan keperluan harian. Kita berharap mereka tabah menghadapi dugaan hidup,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PONTIAN - Seorang suri rumah terpaksa membesarkan tiga anaknya sendirian selepas suaminya diserang penyakit angin ahmar sehingga lumpuh separuh badan sejak empat tahun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.