KUANTAN – Sepasang suami isteri terkejut apabila mengetahui kawasan pengundian mereka berubah selepas membuat semakan di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), petang kelmarin.

K Ravichandran, 52, yang merupakan Ketua Cabang PKR Indera Mahkota berkata, dia tidak pernah membuat sebarang pertukaran alamat tempat tinggal kerana rumah di Jalan Haji Ahmad adalah kediaman tetap mereka.

Menurutnya, dia dan isterinya, V Puspha Valli, 56, sepatutnya mengundi di Dun Semambu, namun hasil semakan mendapati mereka terpaksa mengundi di dua kawasan berbeza.

“Saya tak faham kenapa boleh ditukarkan sedangkan kami tak buat pertukaran pun. Saya sepatutnya mengundi di Dun Semambu, tiba-tiba dipindahkan di Dun Beserah. Isteri pula dipindahkan ke Dun Teruntum. Padahal kami berdua sebelum ini membuang undi dalam kawasan Dun Semambu.

“Kenapa perkara ini boleh berlaku? Kalau saya tak buat semakan pasti saya tak tahu. Jadi saya harap pengundi lain segera menyemak status pengundian mereka,” katanya ketika ditemui di Pejabat Dun Semambu di sini, semalam.

Aduan mengenai perkara itu telah dipanjangkan kepada Adun Semambu, Lee Chean Chung bagi membolehkan masalah mengenai pertukaran lokasi pengundian dapat diselesaikan.

Tambahnya, SPR sepatutnya memaklumkan secara jelas kepada rakyat mengenai kawasan persempadanan semula yang telah mereka lakukan, bukan melakukannya secara senyap.

Katanya, rakyat tidak akan marah sekiranya kawasan persempadanan semula dilakukan secara telus dan terbuka.

“Kita tak nak rombakan kawasan itu dibuat senyap-senyap dan dilakukan hanya  untuk memenangkan parti tertentu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Chean Chung berkata, masalah tersebut bukan pertama kali berlaku, sebaliknya sudah ramai  yang membuat aduan kepadanya.

Bagaimanapun, beliau akan menyelesaikan masalah ini dengan mengemukakan surat kepada pihak SPR.

“Kita nak penjelasan secara lengkap daripada SPR mengenai perkara ini. Saya juga akan membantu Ravichandran untuk proses pertukaran kawasan pengundian dalam masa terdekat,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disifatkan mustahil untuk meluluskan penggunaan logo rasmi Pakatan Harapan dalam pilihan raya walaupun logo tersebut diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
  • TANGKAK - Pakatan Harapan Ledang menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menarik semula larangan pengedaran salinan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) kepada parti politik yang ingin memilikinya.
  • JOHOR BAHRU - Empat pengundi memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar cadangan persempadanan semula yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap dua kawasan Adun di negeri ini.
  • KUCHING - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak mengesahkan tujuh set borang pencalonan bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Pujut telah dibeli setakat semalam (6 Jun).
  • KOTA BHARU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan hari ini mengesahkan menerima notis pengosongan kerusi Dun Nenggiri daripada Pejabat Speaker Dun Kelantan, selepas penyandangnya Datuk Mat Yusoff Abdul Ghani dilucutkan kelayakan sebagai wakil rakyat kerana muflis.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.