TEMERLOH - Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) menerima sebanyak 86,807 permohonan membina Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di seluruh negara sejak program itu diwujudkan pada 15 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali berkata, daripada jumlah itu sebanyak 46,637 permohonan diluluskan merangkumi sebanyak 37,352 siap dibina manakala 7,672 dalam proses pembinaan dan 1,613 di peringkat perjanjian dokumen.

"Bagaimanapun, sebanyak 28,268 permohonan ditolak kebiasaannya kerana melibatkan status tanah tapak pembinaan dan juga tangga gaji melebihi had dibenarkan RM3,000 seisi rumah.

“Kita juga sedang menilai sebanyak 11,507 permohonan untuk memiliki rumah yang berharga RM65,000 bagi setiap unit ini,” katanya ketika berucap pada majlis Penyerahan Sijil Kelayakan dan Inden Kerja RMR1M kepada 11 kontraktor di sini semalam.

Pada majlis yang disempurnakan Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin itu, sebanyak 25 surat kelayakan dan inden diserahkan kepada kontraktor untuk  pembinaan 25 unit RMR1M bagi peringkat Parlimen Temerloh tahun ini.

Ahmad Azizi berkata, SPNB menerima permohonan pembinaan RMR1M sebanyak 9,204 di negeri ini dan daripada jumlah itu sebanyak 3,624 diluluskan manakala sebanyak 2,871 ditolak dan sebanyak 2,709 masih di peringkat penilaian.

"Bagi Parlimen Temerloh, sebanyak 244 permohonan sudah diluluskan sepanjang program ini diwujudkan pada 2002.

"Rakyat menikmati subsidi melebihi RM31,000 bagi setiap unit merangkumi subsidi pembinaan sebanyak RM20,000 dan subsidi kadar faedah pinjaman sebanyak dua peratus iaitu  kira-kira RM11,000," katanya,

Menurutnya, pemohon yang layak menerima RMR1M hanya perlu membayar balik pinjaman bersama baki kadar faedah pinjaman sebanyak RM45,000 dan selebihnya ditanggung kerajaan.

"Pendapatan isi rumah yang layak memohon RMR1M adalah sebanyak RM1,500 sebulan tetapi semasa zaman Perdana Menteri sekarang,kadar kelayakkan isi rumah dinaikkan kepada RM3,000," katanya.

Ahmad Azizi berkata, SPNB berperanan membina 100,000 unit membina rumah mampu milik di bawah tiga program iaitu RMR1M, Rumah Idaman Rakyat dan Rumah Aspirasi Rakyat.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.