BENTONG - Saat menjejakkan kaki di Bengkel Tenun Penjara Bentong, bunyi ketukan mesin tenun tradisional menjadi irama peneman penghuni pagar besi di sini.

Suasana itu menjadi pembakar semangat kepada banduan yang mengikuti latihan untuk lebih tekun dan fokus menghasilkan tempahan kain Tenun Pahang Diraja.

Begitulah rutin harian yang telah sebati dalam hidup seorang banduan sejak bergelar penghuni di Penjara Bentong, Pahang sejak enam tahun lalu.

Seorang banduan yang hanya mahu dikenali sebagai Puteh, kini tekad untuk menguasai seni warisan Pahang itu.

Lelaki berusia 32 tahun itu melihat teknik Tenun Pahang Diraja sebagai satu proses yang sangat unik dan mudah dipelajari.

Menurutnya, ketika ditempatkan dalam program latihan Tenun Pahang Diraja, dirinya sudah tertarik dengan seni warisan tersebut selepas melihat hasil yang dipamerkan di sekitar bilik latihan.

“Saya bersyukur dapat diberi peluang mempelajari kemahiran menenun khususnya Tenun Pahang Diraja... bukan semua orang dapat peluang mempelajari cara menenun ini,” katanya kepada pemberita di Kompleks Penjara Bentong di sini, semalam.

Menurutnya, dia tidak mahu lagi mengulang kesilapan lalu dan akan memanfaatkan ilmu tersebut selepas dibebaskan kelak sebagai usaha untuk memartabatkan seni warisan berkenaan.

Kain Tenun Pahang Diraja merupakan ikon fabrik eksklusif yang hanya diproses dan dihasilkan di negeri Tok Gajah itu sebagai produk warisan zaman berzaman.

Industri Tenun Pahang Diraja Kompleks Penjara Bentong menggunakan 100 peratus tenaga kerja daripada penghuni penjara itu yang melibatkan lebih daripada 50 banduan.

Tenaga pengajarnya, Wan Yuzaini Wan Samsudin, 29, berkata, setiap banduan yang mendapat pengkhususan untuk industri Tenun Pahang Diraja akan dilatih secara berperingkat mengikut proses pembuatan.

Menurutnya, setiap banduan akan dilatih mengikut proses pembuatan kain tenun bermula dari peringkat mewarnakan benang sehingga menenun.

“Jangka masa hukuman juga turut diambil kira bagi menentukan pembahagian bidang tugas kerana proses pembelajaran untuk kemahiran tenun akan mengambil masa yang lama lebih kurang enam bulan.

“Proses penghasilan tenun mempunyai lebih kurang sembilan peringkat dengan kaedah tenunan tradisional dan Makassar dari Indonesia,” katanya.

Wan Yuzaini berkata, proses penghasilan seni Tenun Pahang Diraja memerlukan ketelitian yang tinggi agar kehalusannya dapat dilihat.

“Percaya atau tidak...tangan yang pernah melakukan kesalahan ini telah dapat menghasilkan fabrik tenun yang tinggi.

“Mutu dan keaslian tenunannya sekali gus membuktikan kepada masyarakat bahawa banduan-banduan ini boleh bangkit dan maju ke depan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Lebih 85 peratus bekas banduan yang keluar dan bebas dari penjara ditawarkan peluang pekerjaan melalui program dilaksanakan Jabatan Penjara Malaysia.
  • SEREMBAN - “Saya bersyukur kerana ditangkap. Jika tidak, mungkin sampai sekarang saya masih belum berubah,” luah rasa sesal Azhar,30, (bukan nama sebenar) yang kini menjalani hukuman di Penjara Seremban atas kesalahan jenayah dilakukan lapan tahun lalu.
  • KOTA BHARU - Polis sedang memburu tiga bekas banduan dikenali sebagai Mek Ya @ Joe, Mat Una dan Aiman bagi membantu siasatan kes seorang bekas banduan lain yang cedera ditembak di Kampung Permatang Pasir, Gunong, Bachok, Sabtu lalu.
  • TANAH MERAH - Lima orang kena pengawasan (OKP) berdaftar dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah ini dihukum satu hingga dua tahun penjara dan masing-masing satu sebatan kerana melanggar syarat pengawasan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.