TEMERLOH - Naib Presiden Pas, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah menolak kenyataan Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pilihan rakyat dalam PRU14 hanyalah BN dan Harapan.

Nik Mohd Amar berkata, perjuangan Pas sejak awal penubuhannya adalah untuk mendaulatkan Islam dalam pemerintahan negara dan PRU14 akan menjawab segala apa yang diperkatakan oleh pemimpin Harapan itu.

“Kita tengoklah parti mana yang ke Laut China Selatan selepas PRU nanti,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Jentera Pilihan raya P088 Parlimen Temerloh, di sini kelmarin.

Menurutnya, Pas menawarkan pilihan kepada rakyat setelah BN dan Harapan diterajui oleh pemimpin yang berasal dari parti sama.

“Umno, BN kita dah tau sikap dan sifat pemimpinnya manakala pemimpin Harapan sememangnya kita sangat kenal kerana pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

“Rakyat kenal sangat pemimpin itu, justeru Pas menawarkan alternatif terbaik daripada parti-parti lain,” katanya.

Nik Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan bagaimanapun mencadangkan Harapan supaya tidak bertanding di kerusi yang turut ditandingi Pas bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin dalam media berhubung pertembungan pada PRU akan datang menjadi pertempuran antara BN dan Harapan.

Katanya, tiada istilah parti yang ‘duduk di tengah-tengah’ kerana menurutnya, parti berkenaan akan hanyut ke dalam Laut China Selatan.

Sementara itu, difahamkan Parlimen Temerloh mempunyai tiga Dun iaitu Lanchang, Mentakab dan Kuala Semantan dan pada PRU13 lalu, Pas bertanding di Dun Kuala Semantan manakala Lanchang ditandingi PKR, DAP di Mentakab manakala parlimen ditandingi oleh Pas.

Pas Pahang sudah membuat keputusan akan bertanding di Dun Lanchang, Mentakab dan Kuala Semantan dalam PRU akan datang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Pas Selangor mengesahkan sehingga hari ini semua 13 Adun parti itu masih belum menerima sebarang peruntukan dana untuk kawasan dari kerajaan negeri Selangor.
  • KUALA LUMPUR - UMNO Bandar Tun Razak tetap bertahan dengan pendirian memperjuangkan calon Umno untuk kerusi parlimen itu dalam PRU-14 sekaligus demi menghentikan kekalahan bersiri BN.
  • KUANTAN - PAS Pahang yakin dapat mengekalkan Dun Tanjung Lumpur pada PRU14 ini.
  • KUALA LUMPUR - Gerakan jentera parti secara terancang diyakini mampu mengubah nasib sesetengah parlimen yang dilabel tiada peluang untuk menang.
  • MARANG - Umno Terengganu yakin BN dapat memenangi PRU14 dengan majoriti dua pertiga berdasarkan beberapa faktor termasuk kesiapsiagaan yang telah dilakukan oleh jentera parti di negeri itu.