• Tengku Puan Pahang cadang satu daerah satu kraf Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah tertarik dengan hasil tangan selepas merasmikan Festival Pelancongan Pahang dan Jualan Akhir Tahun.Tengku Puan Pahang cadang sat
1 /

KUANTAN  -  Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah mencadangkan Kerajaan Negeri mewujudkan satu daerah satu kraf bagi menarik kedatangan pelancong di negeri ini.

Tunku Azizah berkata, industri kraf di Pahang sangat unik dan mampu mencuri perhatian pelancong dari dalam dan luar negara.

“Sebelum ini Pahang terkenal dengan keunikan alam semula jadi seperti pulau, tanah tinggi, gunung dan pantai.

“Mungkin pada masa akan datang, kerajaan boleh mengetengahkan produk kraf yang terdapat di sini seperti anyaman, ukiran kayu, batik dan tenun Pahang yang sudah menarik tumpuan pelbagai pihak,” katanya pada Perasmian Festival Pelancongan Pahang dan Jualan Akhir Tahun di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Tunku Azizah berkata, produk kraf seperti ukiran kayu dan anyaman mempunyai nilai yang tinggi di pasaran kerana sifat unik selain material yang digunakan berdasarkan hasil hutan.

“Saya harap kerajaan akan memberi tumpuan kepada produk kraf di negeri ini dalam masa sama mencari identiti setiap daerah termasuk kraf daripada Orang Asli,” katanya.

Sementara itu, Shafik Fauzan berkata, sehingga September lalu, Pahang mencatat kedatangan pelancong seramai 7.3 juta dan menganggarkan jumlah sehingga 10 juta sehingga hujung tahun ini.

Pada festival yang berlangsung sehingga 1 Januari 2013 itu, pelbagai aktiviti dijalankan seperti pameran kesenian dan kraf tangan, pesta makanan tempatan serta pesta rakyat.