ULU JEMPOL - Berhasrat menyemarakkan semangat dan persaingan yang sihat bagi melahirkan bakat-bakat baharu untuk diketengahkan dalam bidang sukan, Sekolah Kebangsaan LKTP Ulu Jempol mengadakan kejohanan balapan dan padang peringkat sekolah, baru-baru ini. 

Kejohanan berlangsung dengan meriahnya apabila semangat kerjasama, berganding bahu berjaya dilestarikan di antara pihak sekolah, ibu bapa, PIBG serta masyarakat setempat. 

Guru Besarnya, Yasin Maarof berkata, matlamat yang disasarkan telah berjaya digarapkan dengan pencapaian cemerlang serta semangat yang ditunjukkan oleh para pelajar. 

"Ini dibuktikan dengan penyertaan para ibu bapa serta penjaga murid yang mengambil bahagian dalam acara pertandingan menghias rumah sukan serta perbarisan yang terdiri dari lima buah rumah sukan dengan mengikut tema ‘burung’. 

"Paling membanggakan pihak sekolah apabila belia dan beliawanis dari Felda Ulu Jempul turut sama menyumbang tenaga sebagai pegawai sukan," katanya ketika ditemui di SK LKTP Ulu Jempol, di sini, hari ini. 

Menariknya, temasya sukan sekolah tersebut diserikan dengan perarakan membawa perasmi, iaitu Pegawai Pembangunan Sukan, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Najhan Mohamed dengan diiringi oleh motosikal berkuasa tinggi dari Jengka Bikers Comunity dan Kelab Chopper Garage Temerloh serta maskot Bank Rakyat yang turut sama mengadakan pameran.

Yasin berkata, kehadiran Perodua Jengka Moto, gerai pemeriksaan kesihatan dari Kospen Ulu Jempol serta pameran dari Pusat Internet 1 Malaysia Ulu Jempol, turut melengkapkan kemeriahan temasya.

Dalam ucapannya, Najhan melahirkan kekaguman dengan penganjuran ini yang pertama kali diarak menaiki motosikal Gold Wing dari simpang Ulu Jempol hingga sekolah dan mengelilingi padang sekolah.  

Dalam majlis itu Najhan turut menyumbangkan satu set peralatan hoki untuk pasukan hoki sekolah dan menyampaikan hadiah kepada rumah sukan Pra Sekolah yang telah berjaya memenangi pertandingan rumah sukan terbaik serta pasukan perbarisan terbaik. 

Beliau turut menekankan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa (OKU) agar tampil untuk diasah bakat mereka di dalam bidang sukan yang bersesuaian. 

"Peluang anak-anak ini lebih cerah jika berjaya digilap yang sudah tentu akan mendapat keistimewaan seperti mana atlit normal. Semoga ia memberikan satu suntikan semangat seterusnya melahirkan kecemerlangan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Dengan bersukan juga telah melahirkan ramai atlet yang telah berjaya di bidang kerjaya masing-masing," katanya. 

Hadir sama, Yang Dipertua PIBG Alias Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Idris Shah Musa; Pengerusi Gerakan Pergerakan Wanita, Norehan Mohamad Yusuf; Pengerusi Kelab Rukun Tetangga KRT Baharudin Napiah; Pengerusi Majlis Belia Felda, Ulu Jempol Zainal Ramli serta ibu bapa dan penduduk kampung.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GUA MUSANG - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, menyokong apa jua bentuk kerjasama antara mana-mana parti sekiranya ia memberi kebaikan kepada rakyat.
  • JOHOR BAHRU - Polis Johor sentiasa menjalinkan kerjasama yang baik dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) terutama dalam membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan di kedua-dua negara.
  • KUALA TERENGGANU - Wakil rakyat BN mempelawa Pas menjalinkan hubungan kerjasama politik dengan parti itu memandangkan kedua-duanya selari dalam memperjuangkan kepentingan rakyat dan agama Islam.
  • KOTA BHARU - Majlis Belia Kelantan (MBK) akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyalurkan maklumat untuk membanteras gejala penagihan dadah di negeri ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.