KUANTAN - Kerajaan negeri diminta  membuka tawaran kepada syarikat berminat untuk menjalankan kerja-kerja mengorek pasir secara kontra bagi mengatasi masalah muara Sungai Kuantan cetek.

Adun Teruntum, Sim Chon Siang berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail untuk tindakan.

Menurutnya, berdasarkan maklum balas diterima, kerajaan negeri sudah mengemukakan permasalahan dan cadangan itu kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk tindakan kerana perkara tersebut di bawah bidang kuasa agensi berkenaan.

“Kita tunggu maklum balas dan keputusan daripada PTG berhubung perkara ini sama ada bersetuju atau tidak terhadap cadangan yang dikemukakan atau mereka ada langkah lebih baik untuk mengatasi masalah yang sudah berlarutan sejak sekian lama ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Chon Siang berkata, seperti kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh sebelum ini, masalah itu dapat diselesaikan sekiranya kerja-kerja  mendalamkan muara sungai itu diserahkan kepada pihak korporat melalui  tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Kita cadangkan kepada kerajaan negeri agar tawarkan kerja-kerja mengorek pasir ini secara kontra.

“Cara ini mungkin kaedah terbaik sekiranya kerajaan negeri tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membiayai kerja-kerja bagi projek mendalamkan muara Sungai Kuantan ini,” katanya.

Beliau berkata, melalui cadangan itu, kerajaan negeri tidak perlu membayar kepada syarikat terlibat sebaliknya memberi kebenaran kepada  mereka  menjual pasir yang dikorek atau digunakan untuk projek-projek pembangunan yang dijalankan pihak berkenaan.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada keputusan kerajaan negeri sama ada bersetuju atau ada cadangan lebih baik.

“Kita tunggu keputusan. Perkara ini ini juga kita akan  rujuk kepada kerajaan persekutuan untuk mempertimbangkan bantuan atau peruntukkan sewajarnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Muara sungai Kuanran makin cetek]