PULAU TIOMAN - Leges Divers bersama Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang berjaya mencipta sejarah apabila menanam 4,824 terumbu karang dalam tempoh sejam di Kampung Salang di sini semalam.

Difahamkan, jumlah itu lebih tinggi berbanding disasarkan peringkat awal iaitu sebanyak 4,680 terumbu karang dengan 65 rangka PVC sekali gus memecahkan The Malaysia Book Of Records (MBR).

Pengarah JTLM Pahang, Mohd Fazli Long berkata, rekod terdahulu yang pernah dibuat adalah pada Januari 2014 selepas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menanam 3,040 terumbu karang di Pulau Manukan, Sabah.

“Sebanyak 67 rangka PVC digunakan dengan setiap satu rangka akan ditanam 72 terumbu karang dengan jumlah keseluruhan terumbu karang sebanyak 4,824 melibatkan 153 penyelam skuba.

“Program ini mendapat sokongan dan kerjasama erat daripada pelbagai agensi kerajaan mahupun NGO serta penglibatan belia selain liputan media yang banyak membantu memberi kesedaran kepada masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Kejayaan memecahkan rekod itu diumumkan Timbalan Pengurus Besar MBR, Mohamad Alex Edward dan turut memuji usaha menanam terumbu karang di pulau peranginan terkenal di Malaysia itu.

Program Restorasi Karang Peringkat Kebangsaan itu turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM), Reef Check Malaysia, Berudu Diver, Redtech Offshore, Berjaya, iM4U dan banyak lagi.

Sementara itu, Pengarah Program Leges Divers, Rysha Mustaffa, berkata, peranan belia adalah untuk membentuk masa depan negara menjelang tahun 2050 dengan memberikan sumbangan tenaga dan penglibatan secara langsung menerusi aktiviti seperti yang dianjurkan bersama JTLM Pahang.

“Kita harap program begini dapat membuka mata pelbagai pihak dalam usaha memantau pertumbuhan karang laut di perairan negara selain menjaga ekosistem dan seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

“Usaha ini juga dapat mewujudkan kawasan selam skuba baharu supaya aktiviti pelancongan di sini dapat ditingkatkan dan melahirkan Reef Ambassadors dalam kalangan penyelam skuba golongan muda,” katanya.

Peserta bergambar kenangan selepas majlis perasmian program di Jeti Kampung Salang, Pulau Tioman.

Menurutnya, penyertaan pelancong asing dalam program itu menunjukkan perkembangan positif selain penyertaan mereka mampu membantu menyampaikan maklumat mengenai program di negara luar dan ia secara tidak langsung menarik lebih ramai pelancong ke Pulau Tioman khususnya Kampung Salang.

Dalam pada itu, seorang peserta dari Kuala Lumpur, Ariff Afzal Adnan, 27, mengaku teruja dengan aktiviti menanam terumbu karang yang dirasakan usaha berkenaan sangat bernilai.

“Menyelam di Kampung Salang ini memang cantik dan sekarang melalui program ini kita cantikkan lagi, program ini memang sangat bagus. Saya harap usaha yang berterusan dilakukan pelbagai pihak ini dapat kembalikan keindahan terumbu karang di Pulau Tioman seperti sebelum ini.

“Hari ini berapa banyak penglibatan dan usaha yang diperlukan hanya untuk menanam semula terumbu karang serta berapa lama pula masa diperlukan untuk ia membesar namun sekelip mata orang yang tak bertanggungjawab musnahkan,” katanya.

Beh Chin Seong, 38, dari Kuala Lumpur pula merasakan usaha memelihara terumbu karang yang telah ditanam juga perlu penglibatan pelbagai pihak.

“Kita perlu jaga terumbu karang yang ditanam dan sedia ada supaya ia tak rosak, jika tak generasi akan datang tidak akan dapat melihat keindahannya,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.