KUALA LIPIS - Generasi kedua Felda di daerah ini menyambut baik hasrat kerajaan negeri yang bersedia meluluskan lot tapak rumah buat mereka. 

Seorang belia dari Felda Tersang, Noraimi Zulkipli, 31, berkata, kesediaan kerajaan negeri meluluskan lot tapak rumah jika masih kosong serta bersesuaian di sesebuah kawasan tanah rancangan membuka peluang untuk generasi kedua Felda memiliki tanah serta rumah sendiri. 

Menurutnya, usaha itu juga membantu meringankan beban golongan belia untuk memiliki aset khususnya mereka yang telah berumah tangga serta masih menumpang tinggal bersama ibu bapa. 

“Saya harap kerajaan negeri bersama pihak Felda dapat segera kumpul data dan maklumat berkaitan tanah kosong serta kawasan pertanian untuk dijadikan lot tapak rumah generasi kedua. 

“Ini dapat bantu tangani masalah perumahan generasi kedua Felda kerana tidak semua dalam kalangan kami mampu membeli tanah dan rumah daripada projek swasta,” katanya kepada pemberita di sini, semalam. 

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dalam kenyataannya sebelum ini memaklumkan kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan untuk meluluskan lot tapak rumah kepada generasi kedua Felda jika masih terdapat tanah kosong serta bersesuaian di kawasan tanah rancangan sekitar negeri ini. 

Adnan berkata, kerajaan negeri komited dan serius dalam menangani masalah perumahan generasi kedua itu kerana masih ramai dalam kalangan mereka yang tidak memiliki tanah serta rumah. 

Menurutnya, usaha mengenal pasti saki baki kawasan pertanian dan tanah kosong tersebut juga dapat membantu generasi baharu Felda memiliki aset, sekali gus mengelakkan mereka daripada terus menumpang di rumah keluarga. 

Generasi kedua Felda Sungai Koyan, Jamilah Hassan, 35, pula berkata, melalui pemberian lot tanah tersebut juga membantu generasi kedua Felda yang tidak memiliki rumah dalam Projek Perumahan Generasi Kedua Felda untuk memiliki tanah  serta membina rumah sendiri. 

Katanya, pendekatan yang digunakan kerajaan negeri serta Felda itu juga mampu membuka peluang untuk golongan belia terus menetap di kawasan rancangan selain mampu mengelakkan mereka dari berhijrah ke bandar. 

“Jika dilihat di kawasan Felda masih ada lot dan tanah kosong yang belum dimajukan. Daripada biarkan kawasan itu ditumbuhi semak samun tanpa sebarang projek adalah lebih baik jika diberikan untuk lot tapak rumah. 

“Kita harapkan supaya usaha kenal pasti lot tanah kosong ini dapat dipercepatkan, sekali gus menunjukkan bahawa kerajaan yang ada kini bersungguh-sungguh dan  sentiasa mendahulukan rakyat,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BUKIT SELAMBAU - Enggan menyusahkan ramai pihak menyebabkan seorang ibu tunggal membina sendiri tempat berteduh untuk dia dan dua anaknya dengan bermodalkan RM300 walaupun tanpa kemudahan tandas, bekalan air dan elektrik sejak setahun lalu.
  • KUALA PILAH - Seorang bekas tentera merayu kepada pihak yang sudi membantu membina rumahnya yang kini terbengkalai di Kampung Air Rambutan, Kepis Baru.
  • KUALA LANGAT - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan lebih RM1.7 juta bagi membaik pulih rumah dan membina rumah baharu di kawasan luar bandar di Parlimen Kuala Langat sepanjang tahun ini.
  • HULU BESUT - Penduduk di daerah ini diminta tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga lebih murah melalui program Jualan Rakyat peringkat Parlimen Besut bertempat di sebelah stesen bas Jertih pagi Sabtu ini.
  • KOTA BHARU - [VIDEO] Lebih 50 penduduk di Kampung Banggol di sini gempar selepas kediaman yang didiami bergegar dan lantai rumah merekah ekoran tanah mendap, menyebabkan sebahagian kawasan dapur runtuh.