LIPIS - Kira-kira 300 penduduk Kampung Limau Purut dan Kampung Sungai Lik, Mukim Cheka 1 di sini kecewa apabila jalan raya yang baharu dinaik taraf di kampung berkenaan kini mengalami kerosakan serta berlubang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Limau Purut, Mohamed Dewan Nordin berkata, jalan sepanjang 6.75 kilometer dari kampung berkenaan ke pekan Kerambit rosak akibat sering dilalui oleh kenderaan berat khususnya lori bijih besi.

Menurutnya, sebelum ini jalan tersebut mengalami kerosakan teruk kerana kerap dilalui oleh lori bijih yang membawa keluar hasil dari kampung tersebut ke kawasan perindustrian Gebeng, Kuantan namun telah dinaik taraf pada tahun lalu dan kini telah kembali rosak.

“Adalah menjadi satu kerugian besar apabila kerajaan menyediakan peruntukan sejumlah RM3 juta untuk menaik taraf jalan di kampung ini namun tidak sampai setahun laluan ini kembali rosak.

“Walaupun pengeluaran hasil mineral bijih besi di kawasan ini memiliki permit yang sah namun pihak berkaitan sewajarnya memikirkan infrastruktur serta kemudahan asas untuk kegunaan penduduk di kampung ini,” katanya di sini, semalam.

Seorang penduduk, Kamaruddin Karim, 61, berkata, laluan terbabit kerap berlaku kerosakan akibat dilalui oleh lori bijih besi dengan muatan seberat 120 tan metrik iaitu melebihi kapasiti yang ditetapkan.

Katanya, jalan tersebut yang merupakan laluan alternatif ke Gua Musang dan telah memacu ekonomi penduduk setempat khususnya pekan Mela serta pekan Kerambit.

Tambahnya, had muatan yang berlebihan tidak relevan antara punca tar pecah sehingga jalan berlubang malahan kenderaan (lori) itu sendiri kerap terkandas di kawasan berbukit antara Kerambit ke Jerantut.

“Sehubungan itu, kita berharap pengusaha berkenaan dapat mematuhi spesifikasi muatan bijih besi berkenaan, iaitu maksimum 80 tan metrik sesuai dengan keupayaan dan reka bentuk Jalan Persekutuan dan negeri hanya mampu menampung muatan tidak melebihi had tersebut.

“Kerajaan keluarkan peruntukan yang tinggi setiap kali melaksanakan kerja pembaikan jalan yang rosak tapi ia kembali ke takuk lama sebab tak mampu bertahan dengan kapasiti muatan lori itu.  

“Penduduk di sini berharap pengusaha berkenaan mematuhi peraturan muatan yang ditetapkan, manakala usaha pemantauan berasaskan penguatkuasaan undang-undang perlu lebih kerap dilaksanakan pihak berwajib,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GUA MUSANG - Rata-rata penduduk di kawasan Felda Chiku, Aring, Kesedar Paloh, Chalil, Lebir, di sini, melahirkan keluhan dengan masalah laluan ke stesen minyak yang dipenuhi lopak.
  • KUALA ROMPIN - Selang sehari tayar motosikal pancit, itu yang dialami seorang lelaki yang berulang-alik setiap hari dari Pekan ke Kuala Rompin untuk bekerja.
  • POKOK SENA - Keadaan jalan Kampung Kepala Bukit, Mukim Tualang, di sini yang rosak dan mendap mengundang bahaya kepada penduduk terutamanya pelajar dan kanak-kanak.
  • ALOR SETAR - Keluhan penduduk berhubung keadaan jalan rosak di Kampung Belukar, di sini akibat hakisan semasa banjir mendapat perhatian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).
  • RANTAU PANJANG - Selepas empat tahun bersabar, penduduk dan pengguna jalan di Tasek Bakong Putat Tujuh memohon agar jalan itu dibaiki segera.