KUANTAN - ”Saya tak pernah dengar tangisan budak dan tak pernah berjumpa dengan suspek. Suaminya pula seorang yang sukar ditegur dan tidak peramah,” kongsi seorang jiran kepada ibu yang dipercayai mendera anaknya sehingga maut.

Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun meninggal dunia dipercayai didera ibu kandungnya yang berusia 29 tahun di Permatang Badak, di sini, semalam.

Jiran suspek yang enggan dirinya dikenali berkata dia tidak pernah bertemu dengan mangsa dan hanya pernah melihat seorang lagi anaknya yang dipercayai berumur 8 tahun.

Menurutnya, dia beranggapan bahawa suspek hanya mempunyai seorang anak sahaja namun jiran yang lain pernah melihat anaknya yang didera sehingga maut itu.

“Jiran lain ada ceritakan kepada saya, pernah berjumpa mereka satu keluarga termasuk anaknya yang maut semasa jamuan raya baru-baru ini.

“Bila salam dengan anaknya, mereka melihat tangan anaknya berkudis, kurus dan badannya panas. Bila ditanya kepada mangsa, dia hanya tersenyum dan cuba melarikan diri dari menjawab soalan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata dia hanya mengetahui wajah suspek dan mangsa setelah melihat gambar daripada jiran dan pihak polis.

“Pagi tadi (semalam) semua yang hantar anak mereka terkejut dan tidak menyangka kejadian tersebut berlaku kepada pengasuh mereka.

“Ada seorang yang hantar anaknya kepada suspek bercerita, anaknya kerap kena marah dan dipukul namun dia terpaksa hantar anaknya ke situ kerana tidak jumpa pengasuh lain untuk jaga anaknya,” katanya.