KUANTAN - Dua buah keluarga di Kampung Tengah, di sini, mengharapkan ada bantuan untuk membaik pulih kediaman mereka yang musnah keseluruhan dalam kejadian kebakaran 9 Ogos lalu.

Siti Meriam Sheikh Ahmad, 61, berkata, modal besar diperlukan bukan sahaja untuk membina malah bagi pembersihan kawasan rumah yang terbakar.

Tambahnya, sehingga kini masih tidak mampu membiayai kos membina rumahnya itu.

“Saya kerja sebagai tukang jahit dan suami, Mohd Yusof Mohd Sab, 59, pula hanya tukang urut jadi semua kelengkapan dah musnah. Buat masa ni kami masih tak ada sumber pendapatan mencukupi.

“Ada juga bantuan awal daripada beberapa pihak dan badan kebajikan tapi digunakan untuk perbelanjaan harian dan sewa rumah buat sementara waktu.

“Saya amat berharap pemimpin setempat dan pihak berwajib bantu sumbangkan dana bagi ringankan beban kami,” katanya selepas program membersihkan kawasan rumah oleh Unit Amal Pas, semalam.

Dalam pada itu, menurutnya, kos pembinaan bagi kedua-dua rumah yang musnah itu dianggarkan hampir RM100,000.

“Tapi saya tak kisah kalau tak dapat dana secara keseluruhannya, dapat bantuan bahan binaan pun dah cukup.

“Nanti dapatlah kami bina balik rumah untuk berteduh, sekurang-kurangnya ada kediaman sendiri.

“Kalau boleh saya berharap dapat bina balik rumah dalam tempoh terdekat, dan saya juga suami dapat mulakan hidup baru,” katanya.

Sementara itu bagi, Sheikh Fadhir Sheikh Mustafa, 41, sehingga kini masih belum dapat membuat sebarang perancangan membina rumahnya.

“Memang nak bina balik rumah atas tapak asal sebab saya juga buka bengkel baiki kenderaan di sini yang turut musnah dalam kebakaran.

“Dana yang perlu ada untuk buat rumah bukannya sikit, harga barang pun mahal. Setakat ni saya cuba untuk bina balik bengkel baiki kereta agar dapat cari rezeki semula.

“Saya juga ada anak-anak yang masih kecil dan bersekolah. Jadi memang kena usaha dapatkan dana kerana sebab kami memang perlukan penempatan baru,” katanya yang menetap di rumah keluarga buat sementara waktu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MALAYSIA - SEORANG ibu tunggal merayu sumbangan bagi membantunya membeli mesin oksigen untuk anak lelakinya Muhammad Nabil Mohd Firdaus, 7, yang mengalami masalah kelumpuhan otak sejak lahir.
  • KLUANG - SEBANYAK 13,000 unit rumah Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) akan dibina di negeri ini menjelang 2020.
  • BOTA - KUBUR lama yang terletak di hadapan sebuah rumah di Kampung Aji Bota Kiri di sini pastinya menimbulkan pelbagai pertanyaan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya. Kubur tidak bernama itu dipercayai milik pasangan suami isteri wujud sejak puluhan atau mungkin ratusan tahun sehingga kini misteri kerana tidak tahu siapa pemiliknya.
  • SEREMBAN - Penerima bantuan motosikal menerusi Program Usahawan Bergerak Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (Mobilepreneur@KKLW) perlu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan berkenaan.
  • MARANG - “SAYA terjaga apabila mendengar kedua ibu bapa saya menjerit ada ular senduk di dalam bilik mereka dan keadaan mula menjadi cemas," kata Suhaimi Abdullah di Jenang di sini, hari ini.