TEMERLOH - Pemilik kedai Nasi Ayam Panggang D&G di Lorong Mawar, Jalan Mentakab-Temerloh dekat sini mengambil pendekatan  hanya melayan pelanggan wanita ketika  solat Jumaat.

Pasangan suami isteri Sharuddin Ali, 53 dan Rogayah Salam, 48 itu meneruskan prinsip yang dipegang sejak tiga tahun lalu.

Sharuddin ketika ditemui Sinar Harian memberitahu, dia mahu memastikan lelaki Muslim menunaikan kewajipan dan menghormati solat  Jumaat serta mengelakkan pandangan negatif daripada masyarakat bukan Islam.

Menurutnya, dia dan isterinya memasang notis pemberitahuan tersebut di dalam kedai makan miliknya.

“Dah tiga tahun dan ada yang dah faham dengan konsep kedai ini. Kami tidak akan melayan pelanggan lelaki Muslim dalam lingkungan jam 1 ke atas.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka akan kembali memberi perkhidmatan sama selepas solat Jumaat.

Sharuddin memberitahu, sepanjang ketiadaannya ketika solat Jumaat di masjid berhampiran, isteri dan anak-anak bersama dua pekerjanya akan melayan pelanggan wanita.

Bapa kepada tiga anak perempuan itu mengakui masih ada pelanggan lelaki Muslim yang degil dan tetap datang menjamu selera.

“Selalunya anak-anak dan isteri serta pekerja akan cuba memberikan teguran dengan sindiran halus supaya mereka faham tanggungjawab menunaikan solat Jumaat,” tegasnya.

Kedai makan berkenaan beroperasi setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Kedai yang terletak berhampiran sebuah pasar raya terkenal di bandar itu turut menasihatkan pelanggan supaya tidak merokok di situ.

“Notis bertulis 'Jangan Merokok Dalam Kedai Lemas Kome' ditampal di setiap sudut dengan harapan pelanggan memahami niat murninya  dan mahu mereka menghormati pelanggan lain.

Sharudin berkata, kedai itu memang menjadi tumpuan kerana hidangan nasi ayam yang menjadi identiti serta menu utama dijual dengan harga RM5 sepinggan sentiasa memikat selera pelanggan.

Selain nasi ayam, turut ditawarkan set ikan patin (RM5), laksa (RM3.50) dan ais kepal milo leleh serta ABC pelbagai perisa termasuk jagung.