KUALA ROMPIN - Masalah jantung yang dihidapi seorang pemilik dua lot premis yang terbakar di Kampung Pianggu, di sini, Sabtu lalu menjadi punca dia mengelak untuk ke lokasi meskipun dimaklumkan mengenai kejadian.

Mangsa, Zulkifli Omar, 56, yang bimbang kesihatannya terjejas hanya datang ke premis  diusahakannya sejak empat tahun lalu itu selepas dua jam kejadian tersebut.

Menurutnya, kebakaran  berlaku kira-kira jam 8.30 pagi itu diketahui selepas dimaklumkan penduduk kampung yang melalui kawasan kedainya.

“Lepas dapat tahu, saya memang tak berani nak pergi tengok sebab takut beri kesan pada jantung. Dalam jam 11 hari sama barulah saya berani ke kedai untuk melihat kesan kebakaran.

“Saya bersyukur sebab bahagian bumbung dan siling saja rosak. Alhamdulillah, struktur kedai tak terjejas.  Cuma, kejadian ini menyebabkan saya kerugian kira-kira RM25,000.

“Terima kasih kepada penduduk dan pasukan bomba yang bantu padamkan kebakaran,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan bantuan dari Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Rompin, Muhammad Nabil Mohd Fauzi di premisnya di sini.

Hadir sama, Penghulu Mukim Endau, Mohd Zulkifli Muda serta Pegawai Pusat Kutipan Zakat Rompin, Mohd Farid Mohd Ramly.

Sementara itu, Muhammad Nabil yang ditemui menyeru mana-mana pihak atau mangsa bencana sendiri tampil melaporkan kepada Muip supaya sebarang bantuan dapat disalurkan untuk meringankan beban .

“Ramai yang masih tidak tahu terdapat bantuan bencana yang boleh dimohon oleh mangsa bencana di Muip.

“Mangsa atau wakil boleh terus ke pejabat Muip berhampiran membuat permohonan bantuan dengan melampirkan laporan polis berkaitan bencana yang menimpa,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :