KUALA ROMPIN - Sebuah bot pukat tunda telah ditahan sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) Pahang sekitar jam 6.30 petang, kelmarin selepas didapati melakukan aktiviti itu di kawasan larangan perikanan.

Pengarahnya, Mohd Fazli Long, berkata, pasukan JTLM Pahang telah membuat rondaan berdasarkan aduan awam mengenai kehadiran bot pukat tunda itu.

"Ketika rondaan sedang sedang dijalankan, anggota telah melihat sebuah bot sedang beroperasi menangkap ikan menggunakan peralatan pukat tunda.

"Setelah ditahan, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lima nelayan atas bot berkenaan dan ia adalah bot tempatan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Mohd Fazli berkata, bot nelayan itu telah melanggar Akta Perikanan 1985 pindaan 2004 dan laporan polis juga telah dibuat susulan daripada penahanan itu.

Beliau berkata, bot berkenaan telah diiring ke Jeti Marina Tanjung Gemok, di sini, manakala kes diserahkan kepada Pegawai Perikanan Negeri Pahang untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Mohd Fazli turut menzahirkan kekecewaan atas aktiviti pukat tunda di kawasan larangan perikanan kerana ia boleh menyebabkan kemusnahan terumbu karang dan hidupan laut lain.

"Kemusnahan hasil aktiviti pukat tunda di kawasan larangan ini memusnahkan segala yang ada di dasar laut, boleh dikatakan ratusan tahun belum tentu boleh ganti.

"Kaedah pukat tunda ini mengaut semua yang ada di dasar atau sapu bersih hinggakan jika kita turun ke dasar boleh lihat seperti ada laluan bagaikan 'highway' yang terbentuk," katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.