KUANTAN - Seorang ibu tunggal bersyukur apabila tiga  daripada enam anaknya terpilih menerima sumbangan baju raya.

Norizan Mohd Nor, 36, berkata, sumbangan itu sedikit sebanyak meringankan beban yang dihadapinya terutama belanja pakaian anak-anaknya.

“Alhamdulillah sekurang-kurangnya anak-anak saya ada baju baru. Itu pun dah buat saya gembira.

“Mereka yang patut rasa seronol nak raya, hari ni (semalam) baru saya nampak mereka betul-betul seronok dapat pilih baju baru," katanya ketika ditemui di sebuah pasaraya di daerah ini di sini.

Jelasnya,  dia menyara keluarga dengan menjual bubur dan  anaknya membantu menjaja bubur berkenaan dari rumah ke rumah manakala pendapatan pula tidak tetap.

“Setiap hari saya mampu dapat antara RM50 sampai RM60 tapi ada masanya jualan tak seberapa. Dapatlah dalam RM20 sehari.

“Mujur saya ada terima bantuan zakat RM300 sebulan, selain sumbangan pihak-pihak yang prihatin," katanya.

Norizan antara salah seorang daripada 300 golongan asnaf yang menerima sumbangan terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuantan, Datuk Seri Abd Hamid Ahmad Nazahar berkata, sumbangan sebegini setiap tahun diadakan.

Menurutnya, pada kali ini tiga sayap Umno Bahagian Kuantan telah menguruskan pemilihan penerima malah pada tahun ini jumlah penerima meningkat berbanding tahun lalu.

“Penerima terdiri daripada anak yatim, golongan miskin serta anak OKU dan mereka diberi peluang untuk membeli sendiri pakaian raya dengan peruntukkan sebanyak RM100 setiap seorang.

“Bantuan  ini sekurang-kurangnya dapat menceriakan mereka dalam menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.