KUALA ROMPIN - Kerusi Dun Tioman yang sebelum ini hangat akibat ada desakan mahu calon muka baharu PRU14 telah pun terjawab apabila penyandangnya, Datuk Seri Mohd Johari Hussain terus diberi kepercayaan mempertahankan kerusi itu.

Antara beberapa nama calon muka baharu yang disebut adalah Presiden Kelab Anak Perantauan Rompin Pahang (Kelar), Mohd Herman Awang.

Mohd Herman berkata, pilihan pucuk pimpinan parti itu adalah yang terbaik dan beliau akan memberikan sokongan.

"Saya harap semua ahli parti dapat menerima dan memberi sokongan kepada calon yang telah dipilih," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau juga tidak menolak perjalanannya masih jauh dan mungkin peluangnya ada pada masa akan datang.

"Apa sahaja kerja yang dibuat sebelum ini akan diteruskan dan menambah lagi apa yang perlu serta memperkasakan lagi gerak kerja," katanya.

Pada PRU13, Mohd Johari memperoleh 8,883 undi menewaskan calon Pas, Mohd Fadzli Mohd Ramly yang memperoleh 4,797 undi dengan majoriti 4,086 undi.

Beliau kemudian dilantik sebagai Exco Belia dan Sukan Negeri.