KUANTAN - Majlis Pimpinan PKR Negeri Pahang menyambut baik dan mengalu-alukan hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke jawatan Presiden PKR.

Pengerusinya, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, PKR negeri Pahang mengiktiraf sumbangan Anwar di dalam memperkukuhkan dan memperkuatkan pejuang-pejuang reformasi.

Menurutnya, sumbangan Penasihat PKR itu cukup besar dalam meletakkan asas ke arah kemenangan Pakatan Harapan (Harapan) pada PRU14.

“Kami amat gembira apabila mendapat tahu keputusan beliau untuk bertanding setelah mengadakan rundingan dengan Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta pimpinan-pimpinan tertinggi parti yang lain.

“Ini menandakan kesepakatan di kalangan pemimpin tertinggi PKR dalam menerima Anwar sebagai presiden parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Fauzi berkata, PKR negeri Pahang juga mengiktiraf penghargaan yang amat tinggi kepada Dr Wan Azizah dan Mohamed Azmin serta pimpinan-pimpinan tertinggi parti yang berjaya menyatukan serta menggerakkan ahli-ahli parti dalam memperjuangkan agenda reformasi.

“Ia sekali gus menzahirkan kesepakatan dengan parti-parti lain di dalam Harapan sehingga mencetuskan kemenangan mutlak pada PRU14 lalu.

“Pada masa sama, kita juga menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana atas cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baginda telah memberi pengampunan awal dan tanpa syarat kepada beliau,” katanya.

Beliau berharap ahli PKR maju ke hadapan dan menzahirkan perpaduan yang jitu agar dapat memenuhi hasrat dan perjuangan asal reformasi untuk menjadikan Malaysia lebih sejahtera kepada rakyat.

“Selaku Pengerusi PKR Negeri Pahang, saya doakan agar pemilihan akan diadakan berjalan lancar dan selamat.

“Jika ada sebarang kesilapan marilah kita kembali bertaut agar dapat memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.