KUANTAN - Kerosakan pembetung di laluan masuk ke Kampung Kubang Ikan di sini disusuli tebing mendap dan runtuh sejak sebulan lalu akan diperbaiki dalam masa terdekat.

Runtuhan disebabkan tekanan air sungai yang tinggi berikutan musim tengkujuh dan cuaca tidak menentu sehingga tanah di pembetung itu mendap.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim berkata, tinjauan ke lokasi runtuhan selepas mendapat aduan daripada penduduk mendapati kerosakan laluan tersebut adalah serius.

Menurutnya, kerja baik pulih perlu dilakukan segera bagi mengelak mendapan dan runtuhan lebih besar serta tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.

“Buat masa sekarang, laluan ini masih dapat dilalui kenderaan ringan walaupun hampir separuh jalan runtuh.

“Saya sudah maklumkan kepada pihak bertanggungjawab dan mereka sudah meluluskan peruntukan segera untuk kerja baik pulih.

“Kita sedia maklum pada musim tengkujuh, air sungai meningkat maka tekanan air akan lebih tinggi daripada kebiasaan,” katanya.

Sementara itu dalam tinjauan berasingan di Jalan Alor Ladang 4 di sini mendapati sebuah lubang besar terbentuk di jalan berkenaan berdekatan perumahan RRM Batu Hitam.

Muhammad Faiz berkata, lubang tersebut berlaku akibat mendapan dan berisiko bahaya kepada pengguna.

“Saya tinjau bersama wakil dari Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bagi melihat sendiri kerosakan jalan ini yang viral di laman sosial.

“Kes ini sekarang dalam perhatian dan tindakan pihak MPK serta akan diselesaikan secepat mungkin dalam masa terdekat,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.