MARAN -  Anak kepada seorang anggota polis yang terkorban dalam kemalangan di KM 183  Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Gambang di sini petang ini, tidak menyangka perbualan dengan ayahnya sebelum subuh tadi menjadi perbualan terakhir mereka dua beranak.

Khairul Nizam Roslan, 24, anak kedua Allahyarham Sarjan Mejar Roslan Maon, 50, berkata ketika itu baru sahaja  4 pagi menyebabkan dia hairan mengapa ayahnya bersiap terlalu awal untuk pergi bekerja.

"Ayah ketika itu maklumkan dia perlu keluar awal kerana perlu sampai ke Bentong sebelum 6 pagi disebabkan tugasan mengiring kertas soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

"Bagaimanapun ketika 4 petang tadi, adik beritahu ada seorang anggota polis menelefon dan memberitahu ayah sudah tiada selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jengka, di sini malam ini.

Menurutnya dia merasakan perkara itu seolah-olah seperti mimpi kerana baru sahaja berbual pagi tadi dengan ayahnya, namun reda dengan kejadian berkenaan.

Khairul Nizam yang masih belajar Universiti Malaysia Pahang  kampus Gambang, berkata jenazah dijangka dibawa pulang ke kediaman mereka di Kuantan malam ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, pagi esok.

Allahyarham Roslan yang bertugas di Cawangan Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang maut bersama rakan setugasnya Konstabel Watson Anak Edin, 23, setelah terlibat dalam kemalangan di LPT1, petang tadi.

Ketika kejadian kedua-dua mangsa dilaporkan dalam perjalanan dari arah Bentong Ke Kuantan bagi mengiringi kenderaan Jabatan Pendidikan Pahang yang membawa kertas peperiksaan SPM.

Mangsa yang telah berkhidmat 31 tahun dalam pasukan meninggalkan balu Mazura Md  Yusop, 50 dan empat anak, berumur antara sembilan dan 26 tahun.

Mendiang Watson pula yang baru bertugas tiga tahun meninggalkan seorang balu Natasha Elsy Anak Juta, 20 tahun.

Mendiang dijangka  diterbangkan ke Sarawak esok untuk disemadikan di kampung halamannya. -Bernama