RAUB - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) memandang serius dan membantah sebarang aktiviti pembalakan yang dijalankan di kaki Bukit Fraser berhampiran perkampungan Orang Asli Kampung Bukit Telaga.

Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, kedudukan pembalakan tersebut amat merisaukan kerana dikhuatiri menjejaskan kualiti alam sekitar di kawasan Bukit Fraser dan kawasan persekitarannya.

Menurutnya, pada ketika ini hanya Bukit Fraser sahaja yang tinggal sebagai sebuah destinasi ekopelancongan tanah tinggi di Pahang yang tidak terusik dan masih mengekalkan identitinya.

"Difahamkan bahawa kerja pembalakan ini dijalankan adalah permulaan langkah bagi membuka kawasan perlombongan di kawasan tersebut 

"Peka khuatir Bukit Fraser akan mengalami nasib sama seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands yang telah banyak tercemar alam sekitarnya akibat pembangunan dan aktiviti pertanian sehingga kerap berlaku bencana banjir khususnya di Cameron Highlands.

"Aktiviti pembalakan yang sedang rancak dijalankan ini dibimbangkan memberi ruang kepada pembukaan hutan di kawasan kaki Bukit Fraser dengan lebih luas lagi dan ia akan memusnahkan flora fauna dan sungai-sungai yang bersih sedia ada di kawasan ini," katanya dalam pada sidang media selepas meninjau kawasan jalan pembalakan di kaki bukit Bukit Fraser di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shariffa Sabrina menggesa kerajaan negeri menghentikan segera pembalakan di kaki bukit Bukit Fraser kerana boleh menjejaskan alam sekitar dan keselamatan penduduk.

Beliau berkata, pembalakan di kawasan berkenaan  memberikan kesan negatif kepada penduduk setempat  dan mengancam Bukit Fraser yang merupakan kawasan ekopelancongan terkenal dan mempunyai keunikan tersendiri. 

"Kawasan pembalakan ini terletak hanya 15 kilometer dari kaki Bukit Fraser dan ini akan memberi ancaman kepada persekitaran  Fraser Hill sekali gus dikhuatiri memusnahkan ekosistem serta mempengaruhi keadaan iklim di situ.

"Jadi kami mahu pembalakan di kawasan ini yang dihentikan sementara pada masa ini  diberhentikan terus dengan membatalkan lesen pembalakan yang dikeluarkan kepada syarikat pembalakan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, Bukit Fraser adalah kawasan berbukit bukau  yang terletak di Banjaran Titiwangsa dan dikategorikan sensitif kepada sebarang aktiviti menjejaskan alam sekitar.

"Kawasan Bukit Fraser juga mempunyai cerun yang curam dan tanah di kawasan ini amat mudah terhakis seterusnya menyebabkan tanah runtuh sekiranya berlaku hujan lebat dalam jangka masa panjang.

"Pada masa ini hanya Bukit Fraser sahaja yang tinggal sebagai sebuah destinasi ekopelancongan tanah tinggi di Pahang yang masih tidak terusik berbanding Cameron Highlands dan Genting Highlands yang banyak terjejas," katanya.

Sementara itu, Persatuan Perpuskataan Komuniti Bukit Tinggi, Dr zubaidah Ibrahim berkata, pihaknya pada mula tidak mengetahui terdapat aktiviti pembalakan di kawasan kaki Bukit Fraser.

Menurutnya, pihaknya agak terkilan dengan tindakan tersebut kerana Bukit Tinggi sudah diwartakan sebagai bebas pembangunan.

"Kami dapat tahu berita ini pun dalam masa sangat singkat, apabila dapat tahu mengenai tauke balak mati yang menyebabkan penduduk bising sebab tempat pembalakan sudah dekat dengan Bukit Fraser.

"Kami adalah masyarakat kecil kurang daripada 1000 orang yang penduduknya 90 peratus terdiri daripada pekerja di hotel restoran yang bergantung pada pelancongan.

"Saya harap perkara ini perlu dihentikan kerana melibatkan nyawa penduduk dan pendapatan penduduk pun akan terjejas dan sekarang ini kalau lalu di sepanjang laluan ke Bukit Fraser pun dah ada tanah runtuh berlaku," katanya.

Mengulas mengenai isu itu, Pegawai Hutan daerah, Mohd Shukri Mohd Alip berkata, pembalakan di kawasan itu dihentikan sementara bermula 8 September lalu bagi menilai bantahan.

Beliau berkata, lesen pembalakan di kawasan itu diluluskan untuk pengambilan dari Julai 2017 hingga Januari 2018 di kawasan seluas 106 hektar di kawasan Hutan Simpan Batu Talam.

"Pada masa ini hanya laluan balak yang merentasi kawasan Hutan Simpan Tranum dibina dan tiada lagi  penebangan hutan di kawasan pembalakan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.