KUANTAN - Pernah merasai hidangan cendol dalam kuali? Persembahan hidangannya saja sudah cukup menarik selera anda, bukan?

Itulah hasrat pengusaha cendol kuali Razali Abu, 46, yang mahu pelanggannya merasai keunikan makan dalam kuali, ditambah dengan keenakan serta saiz hidangan yang banyak.

Gerai cendol yang dikenali Papa Sweet Corner itu diusahakan di perkarangan rumahnya di Taman Cenderawasih di sini.

Permulaan perniagaan cendol kuali pada awal tahun lalu dengan menu utama cendol buah dan aiskrim.

Pemain bolasepak Melaka United, R Gophinathan bergambar bersama Razali (kanan) ketika mengunjungi gerai beliau untuk menikmati cendol kuali.

Cendol kuali dihidangkan dalam menu berbeza, antaranya cendol kuali biasa, cendol durian, cendol buah (mangga, pisang dan betik) serta cendol ais krim.

Menurut Razali, dia tidak menyangka ideanya menghidangkan cendol di dalam kuali dengan saiz besar dan murah 'meletup' di pasaran dan pernah terjual sehingga 200 kuali sehari!

Katanya, harga yang ditawarkan jauh lebih murah iaitu bermula dari RM5 juga antara faktor pelanggan berulang kali datang menikmatinya.

"Kebiasaannya, cendol durian dijual pada harga RM20 hingga RM25 semangkuk. Pelanggan berpuas hati dengan cendol kuali kerana kelebihannya lambat cair dan kekal sejuk," katanya yang menggunakan durian jenis IOI dan musang king dengan jumlah bergantung kepada stok serta harganya antara RM10.

Pernah jual aiskrim

Sebelum menjalankan perniagaan cendol kuali, Razali dan isteri, Mariam Mohamed, 48, pernah membuat dan menjual ais krim di Kuala Lumpur.

Cendol durian yang popular kerana harganya jauh lebih murah.

Pengalaman itu digunakan sepenuhnya pasangan ini dengan melakukan inovasi dan gabungan terbaik menggunakan buah-buahan tempatan.

“Durian yang digunakan pula adalah durian jenis IOI atau musang king. Ini kerana saya mendapat bekalan durian sepanjang musim dan isi cendol pula saya proses dan masa sendiri di rumah,” katanya yang juga membekalkan sekitar Kuantan pada harga RM4 sekilogram atau RM10 untuk tiga kilogram.

Penulis tidak melepaskan peluang menikmati cendol durian dan cendol buah dan ternyata, isi cendolnya sangat lembut.

Begitu juga adunan santan yang  berkrim dimasak menggunakan empat jenis gula iaitu gula merah, gula kabung, manisan dan sedikit gula putih.

Sedia menu baharu

Terkini Papa Sweet Corner memperkenalkan cendol mangga banjir yang dihiasi isi mangga segar sehingga menutup kuali serta cendol horlicks dan oreo.

Razali turut menyediakan khidmat katering aiskrim, cendol dan laksa.

“Idea menjual cendol di dalam kuali ini bermula ketika saya makan di sebuah pasar raya  di Johor. Kedai itu menghidangkan mi goreng dalam kuali. Daripada situ saya mulakannya pada 2016 di Pasir Gudang Johor.

“Saya bersama rakan kongsi memulakan perniagaan di bawah jenama Al Ameen. Selain cendol menu yang turut menjadi kegemaran pelanggan adalah laksa berapi, yang juga dimasak menggunakan resipi saya sendiri. Kalau dah namanya laksa berapi yang sememangnya sangat pedas,” katanya.

Bapa kepada lima anak berusia 10 hingga 20 tahun ini berkata, dia memilih berniaga di halaman rumah bagi memenuhi kehendak dan kemudahan pelanggan.

“Kawasan perumahan konsepnya santai dan tak bising. Lagipun nak parkir mudah. Selain itu ia juga membawa satu kelainan kepada pelanggan kami.

“Sambutan Alhamdulillah semakin hari semakin ramai yang datang. Rata-rata pelanggan memuji menu di sini sangat sedap," katanya yang menerima pelanggan paling ramai termasuk dari luar Pahang pada Jumaat, Sabtu, Ahad.

Papa Sweet Corner beroperasi setiap hari pada jam 11 pagi hingga 7 petang dan 9 hingga 11 malam.

“Insya-ALLAH saya akan buka Papa Sweet Corner untuk Franchise.

“Saya suka berjalan dan melihat cara orang lain mengendalikan persembahan hidangan di premis mereka. Dari situ saya ambil idea terbaik untuk hasilkan hidangan cendol kuali yang menarik,” katanya.