KUANTAN - Syarikat Allience Steel (M) Sdn Bhd yang beroperasi di Taman Perindustrian Malaysia China Kuantan (MCKIP) perlu mendapatkan kelulusan jentera daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) sebelum tamatnya tempoh percubaan jentera, tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, ini merupakan satu isu yang perlu dipandang serius mengenai penggunaan peralatan kerana ia membabitkan piawaian keselamatan para pekerja.

Menurutnya, hanya 22 jentera sahaja daripada 330 jentera yang telah mendapat kelulusan DOSH, iaitu peningkatan lapan jentera lulus berbanding 12 jentera sahaja, Julai lalu.

“Justeru saya menggesa pihak Aliance Steel menyegerakan tindakan permohonan kelulusan ini kerana kita tidak akan berkompromi dari segi piawaian keselamatan. Khususnya pekerja tempatan yang turut bekerja di MCKIP.

“Sekiranya pihak Aliance Steel tidak mendapatkan kelulusan tersebut, maka lesen operasi kilang tidak akan diluluskan,” katanya selepas satu sesi perjumpaan pihak MCKIP bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), di sini.

Fuziah berkata pihaknya akan melakukan pemantauan sehingga Alince Steel benar-benar menepati standard piawaian keselamatan negara ini.

Sementara itu, Pengarah DOSH Pahang, Mohammad Jais Suratman berkata mengikut Akta Kilang dan Jentera serta Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Alliance Steel Sdn Bhd perlu mendapat  kelulusan daripada Ibu Pejabat DOSH dan barulah dibenarkan pemasangan oleh DOSH di peringkat negeri.

Menurutnya, semua jentera yang berbahaya perlu mematuhi spesifikasi kod kejuruteraan antarabangsa yang digunapakai di seluruh dunia.

Dalam perkembangan lain Fuziah berkata lebih RM20 bilion pelaburan termasuk permohonan baharu diterima bagi keseluruhan projek di MCKIP.

Daripada jumlah itu katanya sebanyak RM12.26 bilion sudah mendapat kelulusan manakala bakinya sedang diteliti.

“Sebanyak RM11.04 bilion kini dalam komitmen MCKI dan ada banyak lagi peluang untuk menarik lebih banyak lagi pelabur masuk ke MCKIP,” katanya.