JERANTUT - Lebih 1,250 hektor lot tanah akan disediakan oleh Felda untuk generasi kedua di negeri ini dalam usaha membantu mereka membina rumah sendiri.

Exco Jawatankuasa Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Nazri Ngah berkata, Felda tidak lagi melaksanakan projek perumahan kepada generasi kedua sebaliknya menyediakan lot tanah untuk mereka membina rumah masing-masing.

Menurutnya, lot tanah untuk kawasan perumahan itu melibatkan Wilayah Jengka, Mempaga dan Kuantan.

“Namun agihan lot tanah ini belum dimuktamadkan kerana ia masih diperincikan sebelum diserahkan kepada mereka yang layak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat bersama pengurus-pengurus besar Felda negeri ini di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, kelmarin.

Hadir sama, Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Abd. Malik Abd. Rani; Pengurus Besar Felda Wilayah Mempaga, Mat Zulkifli Mat Naam dan Pengurus Besar Felda Wilayah Kuantan, Agmad Syaarani Azulan.

Ujarnya, pemohon yang layak mendapat lot tanah itu nanti digalakkan membina kediaman melalui program Rumah Mesra Rakyat Felda yang dibangunkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Sementara itu, Felda akan melantik kontraktor baharu bagi menyiapkan projek perumahan yang terbengkalai di seluruh negeri ini.

“Saya difahamkan ada lebih 1,000 buah rumah yang masih belum disiapkan termasuk di Felda Jengka 11, Kota Gelanggi 2, Jengka 12 dan Bukit Tajau.

“Saya juga mendapat maklumat lebih 1,000 buah rumah dilabelkan sebagai projek sakit di beberapa kawasan termasuk Felda Sungai Retang, Keratong 7 dan Sungai Tekam,” ujarnya.

Nazri memberitahu, pelantikan kontraktor baharu nanti diharap dapat menyiapkan perumahan terbengkalai pada masa ditetapkan.

“Kita sudah serahkan hampir 1,200 buah rumah telah siap dibina kepada generasi kedua terutama di Felda Padang Piol, Sungai Koyan serta Selancar 4 dan 5,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap masalah penempatan generasi kedua dapat diselesaikan untuk kemudahan kumpulan sasaran dalam usaha mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.