KUANTAN - Rakyat Pahang menyambut baik pelaksanaan hukuman sebat terhadap pesalah golongan songsang di khalayak ramai.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rakyat juga berharap pelaksanaan hukuman tersebut dapat segera dijalankan di negeri ini.

Seorang penjawat awam, Muhamad Hafizuddin Abdul Rahim, 28, berkata dirinya memandang perkara ini ke arah positif kerana dilihat dapat membanteras gejala songsang daripada berleluasa.

"Hukuman sebat di khalayak ramai pada dasarnya cukup bagus untuk memberi kesedaran kepada pesalah supaya tidak mengulangi kesalahan.

“Hukuman ini juga mampu memberi kesan mendalam serta pengajaran kepada masyarakat terutama pesalah kerana memberikan pengajaran yang amat berguna,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini, semalam.

Dalam pada itu, seorang peniaga, Nor Asfa Yusuf, 26, turut menyambut baik tentang pelaksanaan hukuman tersebut namun perlu dijelaskan secara terperinci kepada rakyat bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan timbul salah faham.

“Pelaksanaan hukuman seperti ini perlu dihebahkan secara langsung kepada orang ramai termasuk kaedah sebatan yang hendak dilaksanakan terhadap pesalah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi  Persatuan Kebajikan Ukhwah dan Silaturahim Pahang (Ukhwah), Zulkefly Senek berkata, pihaknya berharap masyarakat tidak memandang negatif perkara ini yang dapat menjadi titik tolak membendung amalan itu dengan lebih tegas

"Hubungan songsang ini perlu dibendung dan kita percaya hukuman sebatan ini menghantar mesej bahawa perbuatan tidak sesuai dan salah seperti lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) tidak wajar dilakukan,” katanya

"Hukuman berkenaan boleh dijadikan bentuk pendidikan untuk mendidik anak muda mengenai kesalahan amalan LGBT sekali gus menangani penularan gejala itu yang semakin membimbangkan,"  katanya.