SETIAP kali Ramadan, pasti bazar Ramadan turut dikunjungi masyarakat bukan Islam bagi mendapatkan pelbagai juadah untuk dinikmati.

Begitu juga Joan Low dari Pertubuhan Kumpulan Kesenian Mahligai Budaya Kuantan yang pasti tidak melepaskan peluang membeli kuih kegemarannya iaitu onde-onde atau dikenali juga sebagai buah Melaka di bazar Ramadan.

Wanita berusia 43 tahun itu berkata, sebaik sahaja jam 3 petang, dia akan berkunjung ke bazar Ramadan Stadium, Taman Kerang atau di beberapa kawasan di sekitar Kuantan untuk membeli juadah kegemarannya itu.

“Saya suka onde-onde, rasanya sedap jadi saya tak akan lepaskan peluang untuk beli. Tapi kuih lain pun saya ada beli juga seperti, kuih seri muka, pengat pisang raja, kuih bakar dan sarang semut. Makanan ini juga boleh tahan sedapnya,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan makanan istimewa itu hanya dijual pada bulan puasa dan dia mengakui kadang kala rambang mata untuk memilih  juadah yang dijual di bazar Ramadan.

Katanya, terdapat beraneka juadah yang dijual bukan sahaja kuih muih, tetapi biskut, pelbagai jenis nasi dan masakan berlauk yang membuatkan dia kecur  air liur setiap kali melihatnya.

Joan Low berkata, dia memahami dan menghormati rakan Islam yang sedang berpuasa dan seboleh-bolehnya mengelak daripada makan minum di hadapan mereka.

Katanya, malah, kata-kata semangat sentiasa diberikan buat mereka yang sedang menahan lapar dan dahaga.

“Saya nampak mereka ini biasa dalam melaksanakan tanggungjawab itu,dan kadang kala saya teruja dengan mereka yang sanggup bangun waktu subuh untuk makan sahur dan hanya makan (buka puasa) pada lewat senja sepanjang Ramadan,” katanya.

Dalam pada itu, Joan Low berkata, dia tidak sabar menunggu ketibaan Aidilfitri dan merasai kemeriahan serta suasana hari raya sambil menziarahi rumah rakan-rakan berbangsa Melayu, sekali gus dapat menikmati juadah seperti  ketupat, lemang dan rendang serta kuih raya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Pas menyelar sikap segelintir pihak tertentu yang menyindir dan mempermainkan langkah Kelantan membenarkan hukuman sebat di khalayak ramai sekali gus boleh mengelirukan rakyat.
  • KUALA TERENGGANU - Masyarakat seharusnya mengekalkan amalan berpuasa selama enam hari di bulan Syawal bagi meraikan kemenangan seterusnya menyahut seruan Nabi Muhammad SAW menerusi hadis mengenai kelebihan berpuasa di bulan ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.