JERANTUT - Peristiwa rumahnya di Kampung Batu 1, di sini musnah dalam kebakaran 14 Ogos tahun lalu iaitu sehari selepas kakinya dipotong akibat kencing manis masih segar dalam ingatan Che Noor Hayati Che Mohd, 44.

Katanya, kejadian melibatkan deretan empat rumah itu, hanya dimaklumkan kepadanya beberapa hari selepas insiden itu kerana suaminya, Hami Ludin Abdul Hamid, 47, dan empat anak mereka bimbang keadaan kesihatannya.

“Suami tak beritahu kejadian itu sebab bimbang keadaan saya yang baru saja selesai pembedahan potong kaki kanan sampai paras lutut. Selang beberapa hari barulah dia beritahu.

“Masa dengar berita itu saya terkejut dan jadi lebih sedih. Bukan apa, keadaan kami sekeluarga tak ubah seperti sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya mengimbas kembali insiden itu.

Dia ditemui selepas menerima kunjungan Jawatankuasa Biro Kebajikan Umno Bahagian Jerantut diketuai Datuk Norhelan Mahmud, JKM dan sukarelawan JKM yang diketuai pegawainya, Santos Bukarak dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang diketuai Pengarah AADK Negeri, Datuk Abdul Ghani Abdul Rahman.

Kunjungan itu adalah sebuah daripada 18 rumah yang diadakan bersempena program Outreach Kome Prihatin anjuran AADK Jerantut itu turut disertai Ahli Parlimen, Datuk Ahmad Nazlan Idris untuk menyampaikan sumbangan. 

Che Noor Hayati berkata, dia bagaimanapun bersyukur kerana keluarga terselamat dan reda serta menganggap musibah menimpa mereka sekeluarga itu sebagai ujian dari ALLAH.

“Cuma sejak kaki dipotong saya tak dapat kerja dan bantu suami sara keluarga. Sebelum ini saya kerja di stesen minyak sebab gaji suami yang buat kerja-kerja jampung tak boleh tampung kami sekeluarga.

“Tapi lebih teruk lagi suami pula tak dapat bekerja sebab kena jaga saya dan ulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan. Anak sulung saya sekarang bekerja di bandar Jerantut dan sedikit sebanyak membantu ringankan beban kami sekeluarga,” katanya. 

Menurutnya, mereka sekeluarga kini bergantung penuh dengan bantuan diterima dari Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) selain bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan dia kini pemegang kad OKU. 

Wanita itu berkata, penyakitnya mula dikesan pada 2015 namun dia menolak untuk mengambil ubat-ubatan dari hospital.

“Pada masa itu, saya tolak ambil ubat-ubatan dibekalkan hospital dan buat keputusan untuk teruskan rawatan dengan kaedah tradisional.

“Tapi luka di kaki akibat kencing manis itu tak juga baik dan bertukar kehitaman hingga saya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital. Doktor beritahu kaki perlu dipotong untuk elak jadi bertambah teruk dan parah,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Seorang suri rumah tinggal sehelai sepingang apabila rumah didiami bersama ibunya musnah dalam kebakaran di Hujung Kampung, Jalan Sekolah Alor Merah, di sini.
  • PETALING JAYA - Rumah kongsi di dalam sebuah bangunan yang dipercayai menempatkan beberapa pekerja terbakar dalam kejadian di Persiaran Sultan, Kota Damansara, dekat sini, hari ini.
  • MIRI - Pesuruhjaya Pas Sarawak Jofri Jaraiee, 50, melecur pada kedua-dua kakinya dalam kebakaran yang berlaku di kediaman dua tingkatnya di Kampung Luak Bay jam 1 pagi tadi.
  • JERTIH - Dua warga emas tinggal sehelai sepinggang selepas rumah diduduki mereka hangus dalam kejadian kebakaran di Kampung Tandak, pagi semalam.
  • KOTA BHARU - Keluarga Wan Nur Fatihah Wan Hanafi, 19, yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Kampung Bunga Emas, Penambang, di sini hangus terbakar dipercayai akibat api misteri memohon bantuan pihak tertentu untuk mendapatkan kediaman baharu.