KUANTAN - Lapan sekeluarga dari Kampung Balok, di sini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, mangsa, Fatimah Omar, 67, bersama anak dan menantu serta lima cucunya berjaya menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, semua barangan di dalam rumah pusaka berusia 30 tahun itu tidak dapat diselamatkan.

Anak mangsa, Nor Hazlina Kassim, 40, berkata, ketika kejadian dia berada di tempat kerjanya di kawasan perindustrian Gebeng.

“Selepas mendapat panggilan telefon kira-kira 4.45 petang dan dimaklumkan tentang kejadian, saya terus pulang namun bila sampai tengok rumah dah hangus.

“Ibu dan anak saya sempat keluar rumah namun tiada satu pun barang-barang dalam rumah dapat diselamatkan,” katanya.

Dia ditemui ketika menerima kunjungan ziarah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah.

Nor Hazlina berkata, mereka sekeluarga akan berpindah sementara ke rumah bapa saudara, kira-kira 200 meter dari rumah yang terbakar itu.

Tunku Azizah menyerahkan sumbangan peribadi Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menerusi Tabung Kebajikan Yayasan Istana Abdulaziz (YIA) dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) bagi meringankan beban mangsa.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Nor Hazlina di talian 012-9572378.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BINTANGOR - Seorang wanita warga emas, Saripah Serang, yang sakit tua, rentung setelah terperangkap dalam kebakaran Rumah Lambang, sebuah rumah panjang 38 pintu, di Sungai Tulai dekat sini tengah hari ini.
  • PAYA TATEH - Status bapa tunggal bukan penghalang kepada Sinin Bagiran, 54, untuk memikul peranan sebagai ibu dan bapa pada masa yang sama kepada tiga anaknya termasuk seorang golongan kurang upaya (OKU).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.