MARAN - Seorang guru wanita tidak menyangka kepulan asap yang dilihatnya sewaktu dia dalam perjalanan balik ke Kuala Sentul, di sini, semalam, rupanya datang dari kediamannya sendiri.

Komander Operasi Kanan Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mohd Arshad Abdullah berkata, mangsa, Norzita Zahari, 36, tinggal di rumah tersebut bersama seorang adik lelaki, tiga anak dan ibunya, Kalsom Setapa, 62, yang merupakan balu peneroka.

Menurutnya, sewaktu kejadian ibu Norzita berhari raya di rumah anak lain di Kuala Lumpur manakala Norzita dalam perjalanan balik ke rumah.

Norzita ketika memberi keterangan kepada pihak JBPM.(Dua kiri) Mohd Arshad.

"Saksi (Norzita) nampak asap dari jauh. Dia fikir rumah orang lain namun apabila dekat, rupanya dari rumah sendiri. Norzita sempat masuk dalam rumah dan cuba padam api. Beliau nampak api bermula dari kawasan atas syiling bilik tidur ke dua.

"Bagaimanapun api marak terlalu cepat dan dia terus keluar rumah untuk menghubungi pihak bomba. JBPM menerima panggilan jam 2.22 petang semalam (kelmarin) dan tiba di lokasi 15 minit kemudian.

"Siasatan awal pihak JBPM mendapati rumah berkeluasan 30 kaki 50 kaki persegi tersebut hampir terbakar 70 peratus dengan anggaran kerugian lebih kurang RM100,000. Namun kerugian sebenar serta punca kebakaran masih dalam siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

 

Ismail menerima penerangan dari pihak JBPM ketika melakukan Ziarah. (Dua kiri) Mohd Arshad.

Beliau berkata, JBPM yang bertugas adalah dari Balai Maran diketuai Komander Operasi, Mohd Razali Rani dengan kekuatan enam anggota.

Menurutnya, laporan awal dari Komander Operasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai.

"Pihak Bomba bertindak menggunakan dua aliran salur bantuan mula air tangki pam jentera. Tiada kemalangan jiwa direkodkan dan ketika kejadian tiada sesiapa di dalam rumah," katanya.

Hadir sama melawat mangsa dan menghulurkan bantuan adalah Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib.

Sementara itu, Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV) Wan Mohammad Hariri Shafie berkata, Timbalan Pengarah JHEV Pahang, Kapten Ahmad Rosnizam Mat Stu serta Ketua Srikandi Maran, Norazizah Kamarudin turut menziarahi mangsa kebakaran.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pasangan adik-beradik maut dalam kejadian kebakaran di kediaman mereka di Jalan SS2/4, dekat sini, awal pagi tadi.
  • SUNGAI DUA - Seorang pemilik sebuah kedai motosikal di sini hanya mampu berputih mata apabila kedai miliknya yang baru diusahakan beberapa tahun lalu yang menempatkan ratusan motosikal baharu termasuk dari jenis motosikal berkuasa tinggi terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.