KUANTAN - Berdasarkan senario semasa, tekanan dan corak  pembangunan terkini serta cadangan projek-projek keutamaan negeri, Rancangan Tempatan Daerah Kuantan 2015 (RTDK 2015)  perlu dikaji semula bagi tujuan mengemas kini peta cadangan guna tanah dan pembangunan.

Ia seperti terkandung dalam Rancangan Tempatan Daerah Kuantan, Pengubahan Rancangan Tempatan Daerah Kuantan 2010-2015 dan Rancangan Tempatan Daerah Kuantan (Pengubahan) Ke-2.

Draf RTDK 2035 (Penggantian) disediakan di bawah peruntukan Subseksyen 16(1), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan merupakan satu dokumen perancangan akan digunakan secara sah sebagai mekanisme perancangan cadangan pembangunan tanah dan fizikal yang terperinci di seluruh Daerah Kuantan.

Draf itu meliputi lima teras utama iaitu perancangan guna tanah mampan dan pengurusan risiko bencana, pembangunan komuniti sejahtera dan inklusif, pelancongan dan reka bentuk bandar mampan, pembangunan ekonomi, industri, asas tani, perhutanan dan perlombongan mampan serta urus tadbir efektif.

Selaras dengan komitmen kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, maka Draf RTDK 2035 (Penggantian) turut mengambil kira cadangan projek pembangunan berimpak tinggi.

Ia merangkumi cadangan jajaran Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), pembesaran pelabuhan, projek-projek di bawah Koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan mengambil kira aspek pemeliharaan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) yang bersepadu.

Berdasarkan peruntukan subseksyen 13(1), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), salinan Draf RTDK 2035 (Penggantian) ini perlu ditunjukkan kepada orang awam untuk proses bantahan dan representasi.

Semakan salinan Draf RTDK 2035 (Penggantian) boleh dibuat di Pejabat Majlis Perbandaran Kuantan dan Pejabat PLANMalaysia@Pahang (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pahang) di sepanjang tempoh publisiti selama sebulan yang akan bermula pada 11 Julai hingga 10 Ogos ini.

Sehubungan itu, orang awam serta pihak berkepentingan dijemput bersama-sama memberikan maklum balas, pandangan atau cadangan untuk mencorakkan pembangunan masa hadapan daerah Kuantan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TELUK INTAN - Pembinaan Pusat Rekreasi Riverfront Sungai Perak di bawah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Teluk Intan, bakal memacu industri pelancongan di kawasan ini.
  • SIPITANG - Kesemua 127 mangsa banjir daripada 46 keluarga yang ditempatkan di Dewan Serbaguna Sipitang sejak semalam dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing selepas banjir kilat yang melanda perkampungan mereka pulih.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.