KUANTAN - Penganjuran Royal Pahang Billfish International 2018 bakal mencatat sejarah apabila Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mencemar duli menyertai kejohanan memancing di perairan Rompin mulai 14 hingga 16 September ini.

Timbalan Pengarah Tourism Malaysia negeri, Salimah Mohd Ali berkata, ia adalah penyertaan kali kedua Tengku Abdullah dalam pertandingan itu iaitu sejak ia mula dianjurkan pada 2004.

“Kali pertama baginda menyertai kejohanan ini ialah pada 2009 dan sokongan berterusan yang ditunjukkan Tengku Abdullah menambahkan lagi prestij penganjuran sukan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 27 pasukan telah mengesahkan penyertaan termasuk 10 pasukan dari Filiphina, Thailand, Jepun serta Singapura, dan jumlah peserta dijangka akan bertambah hingga hari pelepasan.

Katanya, untuk kejohanan yang berkonsepkan tangkap dan lepas itu, setiap pasukan akan diwakili tiga peserta dan pemenang akan diambil kira melalui bilangan ikan layaran yang berjaya dipancing.

Kejohanan kali ke-14 itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM60,000 serta trofi dan sijil.

Majlis pelepasan peserta akan disempurnakan Tengku Abdullah sendiri di Jeti Pantai Bernas, Rompin pada 15 September. - Bernama