KUANTAN - Rompin menjadi daerah rintis pelaksanaan strategi keselamatan jalan raya di peringkat negeri melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di negeri ini.

Pemilihannya diputuskan ahli mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Pahang mengambil kira  peningkatan kes kematian dan kemalangan jalan raya di daerah itu adalah yang tertinggi di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang merangkap Timbalan Pengerusi MKJR negeri, Datuk Mark Ujin berkata, strategi keselamatan jalan raya itu diusulkan Kementerian Pengangkutan sebagai salah satu inisiatif untuk mengatasi peningkatan kes-kes kemalangan jalan raya terutama melibatkan kematian.

Menurutnya, ia bagi mengenal pasti punca dan strategi bagi mencapai matlamat United Nation of Action for Road Safety (UN-DOA) mengurangkan kadar kemalangan dan kematian melalui pendekatan NBOS di peringkat tempatan dan pendekatan berasaskan hasil.

“Berdasarkan statistik  Cawangan Trafik Bukit Aman, sebanyak 521,466  kemalangan dilaporkan di seluruh negara tahun lalu dengan 7,152 kematian.

“Daripada jumlah itu 20,476 kes dilaporkan di Pahang dengan 547  kematian dan daerah Rompin menyumbang hampir 12 peratus  kadar kemalangan jalan raya di negeri ini selain mencatatkan peningkatan tertinggi kadar kematian di jalan raya iaitu sebanyak 66 kes atau 32 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Bengkel NBOS Kluster Keselamatan Jalan Raya Daerah Rompin di Rompin Beach Resort, Rompin, kelmarin.

Bengkel yang disertai wakil 31 agensi kerajaan dan bukan kerajaan itu merupakan pendekatan  MKJR Pahang bersama JKJR negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah Rompin  bagi merealisasikan hasrat mencapai penurunan 50 peratus kadar kemalangan dan kematian pada 2020.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR ) Pahang, Wan Musa Wan kadir berkata,  menyedari kadar kematian yang semakin meningkat,  kerajaan perlu memikirkan kaedah dan  strategi baru bagi mengatasi masalah kemalangan dan kematian di jalan raya ini.

“Tujuh  kaedah yang akan digunakan dalam membentuk strategi keselamatan jalan raya iaitu memahami keadaan keselamatan jalan raya semasa, ciri-ciri tempatan yang mempengaruhi keselamatan jalan raya dan  mengatur kerangka strategi untuk mencapai matlamat yang ditentukan bersama.

“Selain itu, kaedah ini turut meletakkan hasil  yang ingin dicapai untuk membantu pencapaian matlamat, mencadangkan intervensi dan aktiviti untuk membantu mencapai hasil. memantau pelaksanaan program dan pencapaian hasil dan mencadangkan penambahbaikan dan usaha tambahan untuk menambahkan hasil melalui analisis data dan juga penyelidikan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ROMPIN - Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM84 juta untuk pembangunan Parlimen Rompin, khusus untuk bidang berkaitan pertanian dan ecopelancongan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.