KUANTAN – Sudah jatuh ditimpa tangga. Itu situasi dilalui seorang wanita berusia 32 tahun yang bukan sahaja dihimpit kemiskinan, tetapi menderita penyakit kanser payudara tahap tiga sejak 2011.

Lebih menyedihkan, Depi Lestari Ucu Buriana terpaksa menanggung kesakitan apabila payudara kanannya yang dijangkiti barah itu membesar dan semakin kritikal.

Menurutnya, ketumbuhan itu kini seberat kira-kira 3.8 kilogram dan perlu dijaga rapi bagi memastikan ia dalam keadaan bersih.

“Saya terpaksa bungkus dengan kain sebab nak elak dihurung lalat. Setiap hari saya bersihkan supaya tiada ulat bersarang.

“Nak buat rawatan di hospital saya tak mampu, sebab hidup saya bergantung pada jiran yang sanggup menjadikan saya anak angkatnya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Seri Damai di sini, semalam.

Depi Lestari yang masih bujang berkata, dia menerima takdirnya itu dengan reda dan menganggapnya hadiah terindah daripada ALLAH, selepas dua kali disahkan menghidap kanser.

Katanya, sebelum ini dia pernah disahkan menghidap kanser itu sekitar 2009, namun disahkan sembuh selepas menjalani rawatan.

“Saya tak sangka demam berlarutan yang saya alami sejak tujuh tahun lalu adalah petanda yang kanser itu sudah merebak ke tahap tiga.

“Doktor sarankan saya jalani pembedahan, tapi saya tak mampu. Kerja pun tak ada, jadi saya terpaksa biarkan saja. Saya hanya bertahan dengan ubat tahan sakit yang dibekalkan oleh pihak hospital,” katanya.

Wanita itu berkata, dia juga pernah menjalani kemoterapi untuk mematikan sel-sel kanser, namun tidak dapat diteruskan kerana kekangan kewangan memandangkan semua rawatan itu perlu dilakukan di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Depi Lestari berkata, demi meneruskan kelangsungan hidupnya, dia terpaksa menumpang kasih sayang dengan seorang ibu angkat yang tinggal berhampiran rumah disewanya di Kampung kerana tidak mampu menampung kos rawatan dan membayar sewa rumah.

Katanya, kesusahan hidup dilalui kerana tidak mampu bekerja sejak tujuh tahun lalu membuatkan dia terpaksa berharap kepada ibu tunggal anak tiga, Sarwini Sarwin, 52,  meskipun mereka tiada sebarang pertalian darah.

Menurutnya, dia tiada pilihan lain kerana hidupnya sebatang kara dan tiada tempat bergantung.

“Saya tak sangka, Mak Sarwini (ibu angkat) terima saya dengan hati terbuka, walaupun dia sendiri hidup susah. Hidup dia mengharapkan hasil jualan sate di Jaya Gading. Mak ikhlas mahu jaga saya dan bantu saya dapatkan rawatan.

“Tapi dia hanya mampu setakat duit yang dia ada sahaja seperti bawa saya ke hospital, nak tanggung kos pembedahan itu saya tahu mak tak mampu sebab dia kena jaga tiga anaknya. Saya bersyukur sebab masih ada yang sudi hulurkan bantuan pada saya,” katanya.

Depi Lestari berkata, Sarwini bukan sahaja menjaga makan, minum dan pakainya, malah turut membayar rumah sewa RM150 sebulan bagi memastikan dia ada tempat tinggal.

Dia mengharapkan sumbangan orang ramai untuk membantu menampung kos rawatannya yang dianggarkan mencecah RM50,000.

Katanya, dia mahu ketumbuhan pada payudaranya yang semakin membesar dibuang kerana tidak sanggup lagi menahan kesakitan.

“Saya mohon jasa baik orang ramai, bantulah saya dan ringankanlah kesengsaraan saya lalui hampir tujuh tahun ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUBANG - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang menderita kanser darah atau lebih dikenali sebagai T-cell Acute Lymphoblastic Leukaemia (T-cell All) memerlukan dana berjumlah RM500,000 hingga RM600,000 bagi merawat penyakit termasuk kos kimoterapi.
  • SEGAMAT - Seorang wanita di Segamat Baru di sini, terpaksa menggunakan beg stoma untuk membuang najis sepanjang hayatnya selepas disahkan menghidap kanser usus pada 2009.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.