TEMERLOH - Pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah sebagai sumber ekonomi merayu kerajaan meneruskan eksport kayu getah ke luar negara bagi mengelakkan berlakunya lambakan bahan mentah itu di dalam negara.

Pengerusi Tanam Semula Berkelompok (TSB) Belenggu 2, Kamarulzaman Talib berkata, rayuan itu dibuat supaya pekebun kecil getah yang menampung kehidupan dengan tanaman getah dapat terus bertahan menerusi jualan susu dan kayu getah seperti kelaziman sebelum ini.

Menurutnya, rayuan itu juga dibuat susulan tindakan beberapa persatuan pengilang perabot di Johor yang mendesak kerajaan menghentikan eksport kayu getah ke luar negara selepas ini.

“Kami rayu kerajaan pertahankan eksport ini, jangan dihentikan kerana jika tidak dieksport kayu getah ini akan memenuhi pasaran tempatan sekali gus memudahkan pihak tertentu memanipulasi harga.

“Selain susu getah, pekebun kecil juga menampung pendapatan mereka dengan menjual kayu getah yang sudah tua dan ditebang. Hasil jualan ditambah dengan bantuan daripada Risda, dapat juga mereka menampung kos tanam semula getah seperti membuat pagar dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Balai Raya Belenggu di sini, semalam.

Sidang media itu dibuat di Kampung terbabit memandangkan di kawasan itu sahaja terdapat lebih 400 hektar kebun getah milik penduduk kampung.

Kamarulzaman berkata, rayuan supaya kerajaan meneruskan eksport kayu getah ke luar negara itu turut diadakan di Kedah dan daerah Temerloh menjadi kawasan pertama membuat rayuan itu bagi negeri Pahang.

Beliau berkata, sehingga kini, jualan kayu getah bagi setiap satu hektar kebun adalah dalam lingkungan harga RM3,000 hingga RM5,000 bergantung pada kualiti dan saiz kayu itu.

Menurutnya, kayu getah dari Malaysia biasanya dieksport ke China untuk dijadikan perabot dan turut terdapat kilang membuat perabot di Malaysia khususnya di negeri Johor.

“Tujuan kita berkumpul ini hanya mahukan kerajaan meneruskan eksport kayu getah ke luar negara.

"Ia penting supaya tidak akan berlaku lambakan seterusnya menjatuhkan harga bahan itu dan menyebabkan kerugian kepada pekebun kecil,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JERANTUT - Pekebun kecil dan penoreh getah perlu mendapatkan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) atau kad hijau sebelum layak mohon Bantuan Musim Tengkujuh (BMT).
  • KUALA SELANGOR - Seramai 426 pekebun kecil di negeri ini menerima dividen berjumlah RM824,089 yang diagihkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), pagi tadi.
  • KUALA PILAH - “Kami rasa lega terima bantuan baja kerana harga pasaran ia boleh mencecah RM80 sehingga RM100 seguni,” kata Nazaruddin Ismail, 53, seorang pemilik kebun buah-buahan dari Juasseh, di sini.
  • Zumurni Hamzah - Lebih 5,000 pekebun kecil di kawasan hulu Kelantan dan pedalaman gagal memanfaatkan kemudahan Tanam Semula Getah yang disediakan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akibat masalah pemilikan tanah.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.