• Rayu bantuan penyakit buah pinggang dihidapi Rokiah menunjukkan bahagian leher suaminya yang ditebuk untuk rawatan.
1 /

JENGKA 20 - Seorang peneroka tanah rancangan di sini merayu bantuan orang ramai untuk menampung kos rawatan bagi penyakit buah pinggang yang dihidapinya sejak lebih 20 tahun lalu.

Abdullah Draman, 68, mendakwa, dia tidak dapat menjalani rawatan dialisis di hospital kerajaan kerana tiada kekosongan untuk menggunakan mesin untuk mencuci buah pinggang di situ.

Sementara itu, Isterinya, Rokiah Ismail, 56, berkata, sebelum ini suaminya menjalani rawatan tersebut di Hospital Temerloh, tiga kali seminggu.

“Saya diberitahu oleh pihak hospital, mereka tidak dapat mencuci buah pinggang suami saya kerana mesin terhad dan giliran sudah penuh.

"Apabila minta supaya suami saya dipindahkan ke Hospital Jengka untuk meneruskan rawatan, jawapan sama juga diberikan pihak hospital," katanya.

Rokiah berkata, doktor menasihatkan supaya suaminya meneruskan rawatan di hospital atau klinik swasta.

Katanya, bagaimanapun mereka sekeluarga tidak mampu untuk membayar kos sebanyak RM200 untuk satu sesi rawatan.

“Sekarang ini, pendapatan bulanan diperoleh hanya sekitar RM800 untuk sekali tuai buah sawit. Buah pinggang suami saya perlu dicuci tiga kali seminggu. Bayangkan jika sekali cuci, sudah menelan belanja RM200, bagaimana pula kalau tiga kali seminggu?

“Itu baru kos mencuci, tidak termasuk kos-kos lain seperti pengangkutan dan sebagainya. Dari mana kami hendak cari duit? Anak-anak pula semua sudah kahwin dan perlu menanggung keluarga sendiri,” katanya.

Menurutnya, mereka juga dinasihatkan supaya mencuci sendiri buah pinggang suaminya itu di rumah dengan membuat tebukan di bahagian perut warga emas itu.

“Saya bukan tidak mahu, tetapi saya bimbang untuk melakukannya sendiri di rumah. Persekitaran rumah perlu bersih dan perlu ada ruang khas untuk itu. Jika tidak dibuat dengan cara yang elok, bimbang akan dijangkiti kuman pula.

“Tambahan pula, suami saya ini ada banyak penyakit lain selain buah pinggang. Saya bimbang akan memberi kesan kepadanya jika ia tidak dilakukan dengan sempurna sebagaimana di hospital,” katanya.

Rokiah berkata, sekiranya suaminya tidak mencuci buah pinggangnya pada masa ditetapkan, badan warga emas itu akan menerima kesannya.

Katanya, dia berharap terdapat pihak yang prihatin dengan kesusahan mereka itu dan membantu meringankan beban mereka.