KUANTAN - Kerajaan menyarankan ibu bapa meneliti lesen operasi pusat tahfiz sebelum menghantar anak mereka bagi memastikan pusat tersebut bertanggungjawab jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata mereka perlu menyemak latar belakang premis tahfiz sebelum menghantar anak-anak untuk mendalami pendidikan ilmu agama.

Menurutnya, ibu bapa perlu memastikan pusat tahfiz tersebut berdaftar dengan jabatan agama Islam dan mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta bomba bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.

“Dari segi penguatkuasaan, kita kekurangan kakitangan untuk memeriksa semua premis tahfiz yang tidak berdaftar  yang tumbuh seperti cendawan dan saya turut menyarankan masyarakat juga perlu bekerjasama dengan ibu bapa demi keselamatan pelajar

“Saya menyeru kepada ibu bapa sebelum menghantar anak supaya semak dahulu premis tahfiz supaya berdaftar kerana kita tidak mahu kes dera yang berlaku di Kuantan baru-baru ini terjadi lagi,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Anugerah Cemerlang Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) di Dewan Bahagian Teknologi Pendidikan Pahang di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fuziah berkata masyarakat dan ibu bapa mengambil perkara ini dengan serius kerana pusat tahfiz yang tidak berdaftar mempunyai risiko yang tinggi melibatkan pelbagai faktor

Justeru itu, beliau berharap agar masyarakat tidak mewujudkan perspektif negatif kepada kerajaan yang tidak memberi peruntukan kepada pusat tahfiz yang tidak berdaftar untuk memastikan pengusaha yang tidak bertanggungjawab dapat dihindari.

“Kadang-kadang bila kita tak bagi peruntukan kepada  tahfiz tak berdaftar ada yang emosi dan mereka ini dibantu orang ramai tetap sedangkan mereka tak tahu bahawa dengan bantuan itu, dia membantu pusat tahfiz yang tidak bertanggungjawab untuk hidup.

“Jadi kita kena pastikan pengusaha mesti bertanggungjawab..mesti berdaftar mesti ikut peraturan keselamatan," katanya.

Sementara itu, Fuziah turut mengulas mengenai naik taraf status guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa)  termasuk dilantik ke jawatan tetap dalam usaha membela kebajikan golongan itu yang mengambil masa setahun disebabkan perlu meneliti seramai 36,000 guru secara terperinci.

“Kita melihat peluang menaik taraf jawatan guru melalui skim penjawatan di dalam kerajaan berdasarkan beberapa syarat iaitu kelayakan pensijilan latihan pendidikan dan penjawatan secara tetap.

“Selain tu, kita mahu pastikan kebajikan guru dalam tempoh masa panjang terpelihara seperti pemberian imbuhan pencen, insurans kesihatan dan elaun kepada mereka,” katanya