KIRA-KIRA 300 nelayan Sungai Ular Seberang di sini mendakwa muara sungai yang cetek menyukarkan mereka keluar masuk ke pengkalan ikan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Sungai Ular, Ramali Mamat, 63 tahun, berkata, beting pasir yang membentuk pulau pada waktu tertentu menjejaskan hasil tangkapan mereka.

Menurutnya, lebih sukar apabila waktu ke laut dan pulang ke jeti perlu mengikut masa air pasang surut.

“Keadaan ini menjejaskan hampir 150 bot nelayan yang semuanya bergantung kepada hasil laut.

“Perkara ini dah beberapa kali dibawa ke pihak berkuasa namun tiada maklum balas.

“Apa yang kami harapkan adalah muara sungai ini di dalamkan secara kekal, beting pasir dikorek atau lebih elok bina benteng yang menghalang ombak daripada menghakis pantai,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ada daratan pasir yang menyekat pergerakan keluar masuk bot ke pangkalan ikan ketika air surut.

Ramali berkata, ada bot yang tersekat di tengah kawasan cetek dan terpaksa dibantu penduduk kampung  bagi mengangkut hasil tangkapan menuju pangkalan.

Menurutnya, bagi yang berkemampuan, menggunakan perkhidmatan kenderaan pacuan empat roda.

Sementara itu, Abu Bakar Ismail, 41, berkata, apabila bot sukar melepasi muara, nelayan berdepan risiko bot tersangkut di beting pasir dan terus tersadai sehingga air pasang.

Nelayan terpaksa dibantu menaikkan hasil tangkapan ke jeti kerana bot tidak dapat mendarat di pesisir pantai.

Nelayan juga mendakwa mereka terpaksa menanggung kerugian besar jika berlaku kerosakan bot akibat ditenggelami air laut atau  kecurian peralatan ketika berlabuh jauh dari muara.

“Bila ada bot rosak, kita tak boleh nak tolong sebab kita tak boleh keluar. Kalau tersekat atau tersadai, kena tunggu dulu mana-mana pihak yang boleh tolong.

“Bagi mengelak keadaan itu, nelayan terpaksa ikut waktu air pasang surut dan ini mengehadkan masa berada di laut. Hasil pun sikitlah,” katanya.

Sementara itu, Adun Beserah, Andansura Rabu memaklumkan kira-kira RM5 juta diperlukan untuk pembinaan benteng atau ban pasir bagi mengatasi masalah pembentukan beting pasir di perkampungan nelayan Sungai Ular Seberang.

Menurutnya, perkara tersebut telah dibangkitkan di Persidangan Dun dan pernah mengadakan perbincangan lanjut dengan Kerajaan Pahang.

“Perkara ini telah dibangkitkan sejak 2014. Perbincangan sudah diadakan. Kos sekitar RM5 juta itu dinilai hanya untuk mendalamkan dan membuat batas ban pasir sepanjang 500 meter.

“Belum lagi untuk pembinaan benteng konkrit penahan ombak dan kos lain. Untuk bina benteng, ada proses yang perlu dilakukan termasuk mendalamkan sungai dahulu,” katanya.

Andansura berkata, beliau menerima banyak aduan daripada nelayan dan persatuan, berkenaan masalah itu.

“Terutama faktor keselamatan nelayan. Mereka terpaksa mendarat jauh di tengah laut, berjalan atau berenang ke daratan untuk mendaratkan hasil tangkapan. Faktor ini kritikal dan penting.

“Namun Kerajaan Pahang masih menunggu peruntukan Kerajaan Persekutuan. Saya harap isu jeti nelayan yang guna sungai di kawasan Beserah demi keselamatan nelayan,” katanya.