KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resan Melayu Pahang (Muip) membenarkan polisi pemulangan sebahagian bayaran zakat di Pahang, bermula tahun ini.

Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, pengembalian wang zakat itu tertakluk kepada beberapa syarat tertentu dengan maksimum rebat 30 peratus.

Tiga kategori layak menerima rebat iaitu organisasi yang membayar zakat pendapatan minimum RM50,000;  individu dengan bayaran minima RM50,000 serta majikan Institut Pengajian Tinggi yang membuat pemotongan gaji RM10,000 sebulan dan ke atas atau RM120,000 setahun.

“Syarat lain yang dikenakan ialah agihan hendaklah diberikan kepada asnaf di Pahang sahaja dan senarai asnaf perlu diserahkan kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang (PKZ) untuk semakan dan kelayakan asnaf.

“Walau bagaimanapun kebenaran untuk mengagihkan asnaf di luar Pahang boleh dipohon daripada Timbalan Yang diPertua Muip. Syarat lain akan dikeluarkan oleh PKZ Muip dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan etaksir.zakatpahang.my di sebuah hotel di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan PKZ Pahang, Datuk Halidan Md Daud dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Datuk Toan­towee Mohd Lotfie.

Beliau berharap pembayar zakat  di negara ini membuat semakan atau taksiran pendapatan masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Halidan berkata, portal e-Taksir adalah satu sistem atas talian yang membolehkan umat Islam di Pahang membuat taksiran zakat pendapatan dan menghantarnya secara pantas dan mudah.

“Pada tahun ini Muip melalui Pusat Kutipan Zakat memulakan satu proses mewajibkan umat Islam berpendapatan tetap mengemukakan maklumat pendapatan untuk taksiran.

“Majikan serta kakitangan yang gagal berbuat demikian sehingga Disember tahun ini boleh dikenakan tindakan undang undang mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 yang berkaitan Seksyen 24 dan Seksyen 40,” katanya

Menurutnya buat permulaan ini tumpuan diberikan kepada umat Islam yang mempunyai pendapatan tetap sahaja sama ada di sektor awam, badan berkanun dan swasta.

“Bagi memudahkan PKZ membuat taksiran pendapatan mereka, PKZ telah sediakan sistem khas yang dinamakan portal e-Taksir.

“Majikan juga diingatkan  mengemukakan senarai nama kakitangan kepada PKZ dan mengemukakan senarai ini tidak menyalahi undang undang Akta Perlindungan Data Peribadi.” katanya.