MENITIK beratkan kualiti berbanding kuantiti, Sofian Rohan, 35, mengibaratkan potongan rambut setiap pelanggannya seperti satu seni ukiran yang mesti kelihatan cantik.

Pemilik SGR Barbershop yang beroperasi di Kuala Rompin itu percaya kuantiti pelanggan ditentukan ALLAH kerana kemahuan pelanggan untuk menggunting rambut dan tidak boleh dipaksa.

Katanya, mereka pasti akan datang dengan rela apabila tiba masanya.

SGR Barbershop menjadi pilihan pelanggan kerana kemahiran dimiliki Sofian.

“Ada tukang gunting kejar kuantiti tetapi orang yang dah lama dalam kerjaya ini seperti saya lebih pentingkan kualiti kerana aspek itu akan buat orang ingat, walaupun tinggal di luar, bila balik mereka akan cari,” katanya.

Bermula di usia 12 tahun

Sofian yang berasal dari Jempol, Negeri Sembilan berkata, sebagai seorang anak tukang gunting, dia mula menggunting rambut rakan-rakan sebaya dan orang dewasa pada usia 12 tahun hinggakan gunting rambut sentiasa dibawa ke mana-mana.

“Semua ini bermula apabila ada kawan minta potong sedikit sahaja, bila mereka tengok saya buat okey terus minta potong semua. Orang lain tengok mereka jadi yakin dan ramai yang cari saya untuk gunting rambut.

“Bila sudah dikenali, macam ada aura sebab ke mana-mana pergi orang yang kenal akan minta guntingkan rambut,” katanya.

Sofian turut mengurut tangan pelanggannya selepas selesai menggunting rambut sebagai servis tambahan yang tidak dikenakan bayaran.

Bapa kepada dua cahaya mata itu juga pernah menimba pengalaman bekerja di beberapa hotel selama tiga tahun selepas tamat persekolahan, sebelum kembali tinggal bersama bapanya pada 1998.

Atas dasar kepercayaan dan kemahirannya, dia menjadi rakan kongsi kedai gunting rambut bapanya selama 14 tahun di Bandar Jempol yang masih beroperasi hingga kini.

“Tapi, kira-kira lima tahun lalu saya dan isteri memilih untuk tinggal bersama mertua di Kuala Rompin dan buka kedai gunting rambut di sebuah kedai lama berhadapan bangunan Majlis Daerah Rompin (MDR).

“Ada orang lihat kerjaya saya hanya sebagai tukang gunting rambut semata-mata, tetapi bagi saya kerjaya ini ibarat perunding yang boleh memberikan nasihat berkaitan potongan rambut berdasarkan pengalaman,” katanya.

Didik pelanggan nilai kualiti

Sudah menggunting rambut ribuan pelanggan melibatkan pelbagai fesyen klasik hingga moden, sekilas melihat rambut pelanggan yang masuk ke kedainya, Sofian sudah tahu potongan bersesuaian untuk pelanggannya atau potongan sedia ada, bermasalah.

Katanya, pendekatan digunakannya secara tidak langsung mendidik pelanggan supaya boleh menilai kualiti seseorang tukang gunting, sekali gus tidak tertipu dengan membuat bayaran sedangkan rambut mereka sebenarnya rosak.

“Cara yang saya amalkan beri penerangan sebelum gunting, bukan ikut suka hati saya saja. Setengah orang tengok bila ada peralatan pasti boleh gunting, pada saya yang dah lama dalam bidang ini bukan peralatan, tetapi kemahiran lebih penting.

“Bila pelanggan ada ilmu, mereka mampu buat keputusan untuk gunting atau tak, pelanggan kena belajar supaya tak ditipu tukang gunting. Apa guna gunting tetapi rambut rosak, dah la kena bayar,” katanya.

Sofian mengakui tidak suka tukang gunting rambut membuat kerja sambil lewa kerana jika rambut pelanggan rosak, sukar untuk memperbetulkannya semula.

“Disebabkan itu saya mahu pelanggan jangan terpedaya dengan dekorasi kedai semata-mata kerana seorang tukang gunting mahir tidak perlukan itu semua. Biar pun hanya di bawah payung atau pokok, sudah memadai dan pelanggan beratur panjang untuk gunting rambut.

“Rambut ini ibarat tanam pokok, untuk jadikan daun dan dahannya cantik ia perlu diukir, sama seperti rambut yang perlukan seni mengukir rambut, jadi apabila sudah rosak susah atau mustahil untuk dibaiki.

“Cara saya apabila berhadapan situasi ini, saya beritahu pelanggan rambutnya sudah rosak, tidak boleh digunting dan minta dia balik atau botakkan rambut dulu. Lepas tu saya akan beri servis terbaik kepada dia. Ukir dari awal hingga rambut dia panjang semula,” katanya.

Sabar layan kerenah pelanggan

Menganggap setiap hari adalah pertandingan supaya setiap potongan rambut pelanggan cantik dan kemas, Sofian berkata, ada ketika dia memerlukan masa sehingga 40 minit bagi seorang pelanggan berdasarkan gaya potongan diminta.

Berkongsi pandangannya berkaitan trend potongan rambut masa kini, dia mengakui pelbagai gaya diminta oleh pelanggan sedangkan gaya itu orang-orang terdahulu melihatnya mungkin seperti rambut rosak.

Bagaimanapun katanya, budaya sekarang sudah berbeza namun sebagai orang lama asas kemahiran memotong rambut yang ada sudah memadai untuk melayan pelanggan terutama golongan muda.

Servis berserta perundingan ditawarkan Sofian menjadikan ia satu nilai tambah yang tidak dimiliki tukang gunting rambut lain.

“Setiap gaya potongan itu kita perlu tahu macam mana ia akan jadi atau kesannya selepas selesai potong, sepatutnya lebih digunting makin cantik bukan lebih teruk. Ada pelanggan yang tahu minta saja tapi tak tahu kesannya. Kena ingat risiko pelanggan yang tanggung, bukan tukang gunting.

“Suatu hari nanti tak mustahil ada yang nak kembali pada gaya lama, tukang gunting baru yang tak tahu asas tentu alami kesukaran kerana orang lama ilmunya masih kekal dan peredaran zaman menjadikan ia semakin bertambah,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MACHANG - Berbekal bangku usang dibuat sendiri, gunting dan cermin, Rahami Ismail, 46, mengusahakan kedai gunting secara kecil-kecilan di hadapan rumahnya di Perumahan JPN Joh, dekat sini, sejak tujuh tahun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.