Potong gaji bayar zakat
Tengku Abdullah beramah mesra dengan peneroka yang hadir pada majlis itu.

KUANTAN - Pahang menjadi negeri pertama di negara ini melaksanakan program khusus untuk mengutip zakat dalam kalangan peneroka di tanah rancangan Felda melalui kaedah potongan gaji.

Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip), Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah,pelaksanaan program itu mengambil kira kemampuan komuniti Felda pada masa kini yang memperoleh pendapatan yang stabil.

Titahnya, walaupun jumlah peneroka yang membayar zakat masih rendah iaitu hanya enam peratus iaitu kira-kira 2,663 daripada 43, 887 peneroka di seluruh tanah rancangan, namun Muip melalui Pusat Kutipan Zakat (PKZ) akan terus mendekati komuniti di Felda untuk memberi kesedaran.

“Justeru, kaedah bayaran zakat melalui potongan gaji ini dilihat pendekatan terbaik kerana ia memudahkan peneroka untuk menunaikan tanggungjawab itu.

“Sekiranya semua peneroka sedar mengenai tanggungjawab ini, ia akan memberi impak yang besar kerana melibatkan jumlah yang besar iaitu kira-kira RM8 juta jika separuh daripada peneroka membayar zakat melalui kaedah ini,” titahnya pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Potongan Zakat Al-Barokah Felda dan Majlis Ramah Mesra Tengku Mahkota Pahang bersama asnaf zakat, di sini.

Turut berangkat, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob dan Timbalan Yang Dipertua Muip, Datuk Seri Wan Wahid Wan Hassan.

Tengku Abdullah turut melahirkan rasa bangga dan terharu apabila masyarakat peneroka bersetuju untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

Titahnya, zakat yang dibayar peneroka akan diagihkan untuk manfaat peneroka seperti membantu asnaf di Felda dan membaiki masjid dan sebagainya.

“Kita yakin dapat meningkatkan kesedaran peneroka melalui peningkatan program dakwah zakat seperti memberi taklimat dan penerangan mengenai kaedah bayaran dan sebagainya.

“Kita juga tidak mahu menggunakan tindakan atau hukuman kerana percaya pendekatan lebih berhemah adalah lebih baik,” titahnya.

Buat permulaan, sebanyak 18 rancangan Felda di Pahang dipilih untuk memulakan program ini dan sebanyak 1,250 borang potongan gaji sudah diperoleh.

Sempena majlis itu, Tengku Abdullah turut menerima bayaran zakat daripada beberapa agensi membabitkan nilai RM1.9 juta selain mengagihkan bantuan kepada 250 asnaf zakat.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai dakwaan Muip menggunakan wang zakat untuk membeli hotel MS Garden, baginda menafikan menggunakan wang zakat sebaliknya wang Baitumal di gunakan untuk membeli hotel itu dengan kos RM50 juta.