KUANTAN - Polis merampas dua laras senapang angin buatan sendiri bersama 209 bebola besi dalam Ops Sarang Khas Narkotik yang dijalankan selama dua hari di sekitar kawasan Felda negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang Superintendan Lam Thiam Huat berkata, dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seperti heroin, syabu dan daun ketum bernilai RM8,375.

"Hasil operasi bersepadu itu, kami menahan 305 orang termasuk 14 pengedar dalam operasi yang  bermula 3.30 petang semalam sehingga petang tadi.

"Selain dua laras senjata api berkenaan kami turut merampas pelbagai jenis senjata lain termasuk sebilah padang samurai, sebilah pisau, satu buku lima dan sebilah gunting pokok yang telah diubah suai.

"Kesemua senjata itu dirampas daripada tiga lelaki berusia 36, 28 dan 23 tahun," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Thiam Huat berkata, selain itu polis turut menemukan tiga motosikal curi dalam operasi yang dijalankan oleh pegawai dan anggota IPK Pahang serta Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman itu.

Turut sama dalam operasi berkenaan ialah pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela serta polis sukarela.

"Kami dapati kawasan ladang kelapa sawit yang jauh dari penempatan penduduk itu sering dijadikan 'port penagihan dadah' penagih tempatan.

“Ada penagih yang bertindak melarikan diri apabila menyedari port mereka diserbu polis, tetapi mereka berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan," katanya.

Semua suspek berusia 19 hingga 56 tahun itu, katanya kini ditahan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun.

Katanya, Ops Sarang akan diteruskan selepas mengenal pasti beberapa lagi lokasi sekitar daerah ini yang dijadikan sarang menagih dadah secara berkumpulan.

“Serbuan itu dilakukan mengikut maklumat orang ramai, kami harap masyarakat terus membantu polis dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan penagihan dadah di kawasan masing-masing,” katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SABAK BERNAM - Kawasan hutan paya bakau di Bagan Sungai Besar perlu dibangunkan semula agar tidak terus menjadi tempat penagih melepaskan gian dan pengedaran dadah.
  • KUANTAN - Seramai 85 individu dipercayai penagih dan pengedar ditahan kerana terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
  • PASIR PUTEH - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Puteh memusnahkan tiga lagi sarang penagih dadah menerusi program My Beautiful Malaysia di Kampung Nara dekat sini, kelmarin.
  • MARANG - Penyelaras Pemuda Pas Dun Rhu Rendang, di sini, kesal dengan keadaan sebuah bangunan terbiar di Waterfront Bandar Marang yang dikhuatiri menjadi lokasi aktiviti kurang sihat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.