KUANTAN - Pihak polis menyelesaikan 24 kes jenayah hasil penahan empat lelaki dalam satu operasi yang dijalankan di sekitar Taman Tas dekat sini pada Sabtu dan Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, SAC Othman Nanyan berkata suspek pertama berusia 30 tahun berjaya ditangkap selepas menceroboh sebuah rumah sewa  pelajar perempuan sebuah institusi pengajian di Gambang pada Sabtu lepas.

“Suspek yang bersenjatakan parang telah mengarahkan kesemua 11 pelajar perempuan di dalam rumah berkenaan berkumpul dan mengambil barangan berharga milik mangsa sebelum melarikan diri.

“Ekoran daripada kejadian itu, kira-kira 1 pagi Ahad polis telah berjaya menahan suspek berkenaan dalam sebuah kereta dengan nombor pendaftaran palsu di Taman Tas dengan barang kes,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Susulan tangkapan itu, katanya tiga lagi suspek berumur 19, 28 dan 31 tahun yang dipercayai turut mempunyai kaitan  berjaya diberkas di sekitar Taman Tas pdaSelasa lepas.

Katanya, kesemua suspek yang ditangkap turut didapati positif dadah selain mempunyai empat rekod jenayah lampau selain dikehendaki dibawah Seksyen 323 KK, 18(a) AKRT, Seksyen 379 A KK, POCA, Seksyen 392/397 KK, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1957.

Berikutan penahanan itu polis berjaya menyelesaikan 17 kes samun, enam curi kereta dan satu kes pecah rumah di sekitar Kuantan dan satu kes di Kijal, Kemaman sejak Januari lepas yang melibatkan anggaran kerugian lebih RM367,000.

Beliau berkata, suspek pertama ditahan reman sehingga 19 Sept depan manakala tiga lagi suspek sehingga 18 September depan.- Bernama 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.