KUANTAN - Majlis Pimpinan PKR Pahang menyambut baik keputusan mengosongkan kerusi Parlimen untuk memberi laluan kepada Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusinya, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, tindakan wakil rakyat yang menawarkan untuk mengosongkan tempat bagi memberikan Anwar bertanding adalah perkara mulia dan harus dipuji.

Menurutnya, ini membuktikan bahawa PH mempunyai kesinambungan dalam perjuangan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

“Saya dah berpolitik sejak tahun 1955 dan inilah kali pertama ada orang (wakil rakyat) sanggup bagi kerusi kepada orang lain dan kalau ada pun mungkin hanya kes terpencil.

“Bagi saya ini satu kemuliaan kerana kalau tempat berkedudukan (kawasan parlimen) berprestij itu, satu pengorbanan dan kalau kedudukan lebih memikul beban dan tanggungjawab, dia sanggup melepaskan tanggungjawabnya kepada orang lain,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Perbincangan turut libatkan Wan Azizah]

Fauzi berkata, dia berharap supaya semua ahli menerima hakikat dengan tindakan yang dilakukan demi kebaikan negara dan rakyat yang mahukan perubahan daripada kerajaan baharu.

Dalam pada itu, Ketua Wanita PKR negeri, Dasimah Zainudin menyokong tindakan tersebut dalam memberi laluan Anwar menyertai semula dalam memperjuangkan nasib rakyat.

“Tindakan itu langkah terbaik kerana ramai yang ingin melihat Anwar kembali menjadi seorang ahli politik. Kalau boleh pengumuman mengenai kekosongan kerusi itu perlu dipercepatkan lagi.

“Ini kerana bukan setakat ahli PKR malah rakyat sudah ternanti-nanti untuk melihat Anwar kembali menjadi seorang wakil rakyat,” katanya.