BERBEZA dengan kafe lain, Pizza Heart tampil dengan kelainan apabila menawarkan pelbagai jenis piza berserta topping yang pasti memikat hati penggemarnya.

Terletak di Jalan Beserah di sini, pemiliknya, Nik Wan Abdul Shomad Wan Nik, 46, berani mengambil risiko untuk mempopularkan makanan orang Itali ini di kalangan warga Kuantan.

Kafe ini menawarkan harga berpatutan iaitu hanya RM13.80 (saiz medium) dan RM20.80 (saiz besar).

Menurut Nik Wan Abdul Shomad, biarpun tidak memiliki sijil ataupun belajar secara profesional, minat mendalam membuatkan dirinya berani mengambil risiko membuka kafe tersebut sejak lima tahun lalu.

“Saya rajin belajar cara buat piza dengan membuat kajian di internet selain menonton YouTube. Kemudian saya ambil inisiatif dengan mempelbagaikannya dengan cara tersendiri.

“Setakat ini, memang saya menerima sambutan dan tindak balas positif daripada pelanggan selain menyesuaikan dengan citarasa tempatan yang lebih gemarkan mayonis,” katanya.

Dibuka setiap hari kecuali Ahad bermula jam 6 petang hingga 1 pagi, Nik Wan berkata, topping peperoni ayam atau daging adalah antara pilihan utama pelanggannya.

“Kita juga beri peluang kepada pelanggan untuk topping pilihan masing-masing.

“Selain itu, menyedari selera orang tempatan, menu nasi lemak turut disediakan dan ia juga menjadi antara pilihan utama," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :