KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) akan meminda pelan kelulusan lesen pembalakan yang menempatkan kawasan tadahan air penduduk yang terletak di Bukit Segantang, Sungai Lembing.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan sumber air dapat terus kekal selain menjamin kebersihan dan bebas daripada keladak tanah terutama setiap kali hujan.

Menurutnya, jabatan bertindak demikian selepas memikirkan kepentingan masyarakat setempat yang menjadikan air dari kawasan tadahan terbabit sebagai sumber untuk aktiviti

harian mereka.

“Kawasan berkenaan berstatus tanah kerajaan bukan hutan simpan atau hutan dara seperti yang didakwa sesetengah pihak sebelum ini hingga menimbulkan salah faham pelbagai pihak.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan pembalakan Syarikat Sintamas Timber yang diberi kelulusan melakukan pembalakan, kita memutuskan dengan mengubah kedudukan pelan

supaya tidak termasuk dalam kawasan tadahan air itu.

“Dengan cara itu diharapkan kawasan tadahan itu yang dikatakan digunakan sejak lebih 50 tahun lalu bebas daripada berlakunya pencemaran hingga menjejaskan sumber air penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata, kelmarin Timbalan Pengarah Operasi JPNP Datuk Mohd Basri Abdul Manaf dan Pegawai Pejabat Hutan Kuantan, Pekan dan Maran Ismail Ali Kamarudeen bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS, Pahang (MNS), wakil penduduk dan syarikat pembalakan melawat kawasan terbabit.

Mohd Hizamri berkata, hasil lawatan dan perbincangan dengan wakil penduduk dan syarikat pembalakan keputusan meminda pelan di kawasan tadahan air diputuskan tanpa masalah.

Katanya, jabatan menetapkan zon penampan di sepanjang Sungai Kuala Kenau dan melarang syarikat pembalakan melakukan aktiviti menebang pokok di kawasan terbabit bagi mengelak berlakunya pencemaran dan hakisan.  

“Saya nasihatkan kepada wakil penduduk supaya segera buat permohonan untuk mewartakan kawasan tadahan air sebagai kawasan sumber air bagi memastikan tidak berlaku pembangunan pada masa akan datang.

“Bagi pihak jabatan kita akan membuat cadangan kepada jawatankuasa peringkat daerah untuk mewartakan aliran sungai dan kolam terbabit sebagai tadahan air bagi memastikan

kawasan berkenaan kekal dan tidak diganggu pada masa akan datang,” katanya.

Pada 25 Mei lalu, media melaporkan penduduk terpaksa menggunakan air keruh dan berkeladak untuk kegunaan seharian termasuk menyediakan hidangan berbuka puasa dan bersahur selepas aktiviti pembalakan berlaku di kawasan hutan Bukit Segantang.

Lebih 100 penduduk di Kampung Kuala Kenau kesal apabila selepas sumber air mereka tercemar sejak beberapa minggu lalu dipercayai berpunca dari aktiviti pembalakan di kawasan berhampiran.