JERANTUT  - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut merancang untuk membina sebuah surau di tapak baharu sekolah berkenaan.

Pengerusi PIBG SK Limau Purut, Mohd Puad Ahmad berkata, bagi merealisasikan impian itu pihaknya telah melancarkan kutipan dana bagi menampung kos pembinaan surau sekolah itu yang bernilai kira-kira RM40,000.

Menurutnya, sebelum ini barisan pendidik dan murid menggunakan sebuah kuarters guru tidak berpenghuni yang terletak berhampiran sekolah untuk menjalankan aktiviti keagamaan.

"SK Limau Purut telah dibina sejak tahun 1952 dan pengasasnya ialah bekas Ketua kampung kedua, Jaafar Talib.

"Sekolah ini telah melahirkan ramai insan berjaya termasuk  bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP), Datuk Abdul Manan Endol dan bekas Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Yusof Jaafar.

"Justeru, telah tiba masa untuk sekolah ini memiliki surau baharu memandangkan surau sedia ada yang juga kuarters guru sudah tidak mampu menampung jumlah murid seramai 85 orang termasuk 40 murid Orang Asli beragama Islam serta 13 orang guru," katanya sempena Sukan Komuniti dan Hari Keluarga Kampung Limau Purut di padang SK Limau Purut di sini, hari ini.

Sempena program itu kira-kira 100 penduduk telah hadir memeriahkan majlis berkenaan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk sukan rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Limau Purut, Mohamad Dewan Nordin berkata, tapak yang sesuai untuk membina surau terbabit telah dikenal pasti dan usaha membina rumah ibadah terbabit akan dilakukan secara bergotong royong bersama penduduk kampung bagi menjimatkan kos.

Beliau berkata, orang ramai yang berminat menghulurkan bantuan bagi pembinaan surau terbabit boleh berbuat demikian di akaun Bank Rakyat, 22-060-12641111-1 atas nama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUNGAI BUAYA - Kisah lima beradik tidur di atas lantai simen yang tular di laman sosial Facebook terus mendapat perhatian masyarakat.
  • PERAK TENGAH - Madrasah Tahfiz Al-Quran Tuan Guru Haji Abd Ghani, Kampung Seri Kaya Bota Kiri, di sini, masih mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk menyiapkan bangunan fasa kedua sekolah berkenaan.
  • JERANTUT - Dua beradik terpaksa melalui pengalaman pertama kali membeli pakaian sekolah sendiri selepas ibu bapa mereka meninggal dunia dalam tempoh tujuh bulan.
  • KEMAMAN - Walaupun usianya sudah empat tahun, namun berat badan seorang kanak-kanak sumbing, Ajmal Salsabila Abdul Aziz yang juga anak kelima dari tujuh beradik cuma enam kilogram (kg) sahaja.
  • JOHOR BAHRU - “Saya buntu kontrak kerja saya sebagai tukang cuci sudah tidak disambung sejak dua bulan yang lalu,” luah Juraidah Jaimis, 40.