KUANTAN - Musim kemarau yang melanda tahun lalu menyebabkan petani yang terlibat dengan penanaman sayur terjejas dan mengalami kerugian puluhan ribu ringgit.

Prihatin terhadap nasib petani, kerajaan negeri menyalurkan wang ihsan bernilai RM500 kepada 61 petani di daerah ini.

Petani yang ditemui, Mohd Yusli Abdul Hamid, 32, berkata, kebun sayurnya seluas 12 hektar mengalami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit pada musim kemarau yang lalu.

Menurutnya, kemarau yang berpanjangan selama dua bulan itu membuatkan dia terpaksa reda melihat tanamannya mati akibat kekurangan air.

“Pada ketika itu, saya tanam kacang panjang dan timun tetapi kerana kekurangan air, saya terpaksa biarkan semua sayur mati.

“Anggaran kerugian mencecah lebih RM80,000 kerana bekalan sayur tidak dapat diedarkan kepada pemborong,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Bantuan Musim Kemarau daerah Kuantan anjuran Pejabat Pertanian Kuantan, semalam.

Hadir menyampaikan bantuan adalah, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif.

Turut hadir, Pegawai Pertanian Kuantan, Amir Dzulfadli Samad.

Mohd Yusli yang mengusahakan kebun sayur di Kampung Pahang berkata, hampir 80 peratus sayuran yang ditanam di kebunnya dipasarkan ke Pasar Borong Selayang manakala selebihnya di Pasar Borong Kuantan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan yang prihatin dengan nasib kami,” katanya.

Situasi sama turut dialami Syafiqa Ali Mohd, 27, dan suami Rizal Abu Salam, 37, sehingga terpaksa  mengorek kolam bawah tanah bagi mendapatkan aliran air.

“Saya terpaksa tanam sayur hanya 0.8 hektar daripada luas keseluruhan kerana bimbang akan rugi lebih banyak.

“Nasib baik musim kemarau sudah berakhir dan sekarang tanaman sudah kembali seperti biasa,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TUMPAT - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) memperuntukkan RM209,100 kepada 159 petani di Parlimen Tumpat bagi bantuan input pertanian dan peralatan kecil.
  • PADANG BESAR - Sebanyak 350 petani di Perlis menerima mesin dan peralatan tani bernilai RM3.5 juta di bawah Program Azam Tani (PAT) sejak ia diperkenalkan pada 2011.
  • ALOR SETAR - Enam petani terpaksa menanggung kerugian apabila sawah padi mereka di Kampung Alor Pak Ngah, Titi Haji Idris, di sini, tenggelam akibat banjir pada September lalu.
  • KUALA NERUS - Seramai 17 petani di negeri ini mengambil bahagian dalam program penuaian pokok cili terbesar yang berlangsung serentak seluruh negara dan turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.
  • KUALA KURAU - Lebih 100 petani di kawasan Kuala Kurau dekat sini, bimbang aktiviti penanaman benih padi yang diusahakan sejak seminggu lalu terjejas akibat ditenggelami air selepas hujan lebat tiga hari lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.