KUANTAN- Ikatan Muslimin ​Malaysia (Isma) Kuantan meminta semua pihak tidak membuat sebarang kenyataan, desakan  atau mempertikaikan perkara berkaitan hak orang Melayu dan kesucian Islam di negara ini. sebaliknya ia perlu dihormati dan dipertahankan.

Hak yang sudah termaktub dalam perlembagaan perlu dihormati dan dipertahankan.

Yang Dipertua Isma Kuantan, Dr Mohamad Nor Sundari berkata, kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu  dikhuatiri akan dipolitikkan atau diperbesarkan pihak tertentu sehingga mencetus rasa kurang selesa orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Menurutnya, sebagai NGO, Isma akan memperkasakan peranannya mempertahankan institusi Melayu dan Islam selaras dengan peruntukkan undang-undang dan perlembagaan bagi memastikan hak itu tidak diganggu-gugat.

"Selaras matlamat itu, Isma Kuantan akan mengupayakan semangat perpaduan dalam kalangan orang Melayu bagi mendukung dan mempertahankan hak-hak tersebut tanpa mengetepikan hak kaum dan agama lain.

“Sebagai NGO yang mendampingi masyarakat, kita akan gunakan saluran dengan menggerakkan badan-badan di bawah Isma untuk menyedarkan semua pihak akan tanggungjawab ini melalui siri penerangan dan wacana pemikiran supaya semua faham dan menjaga lunas itu demi kepentingan bersama.

“Justeru, sebagai salah satu NGO di bawah Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) kami bersatu dan bertanggungjawab untuk mencari kaedah terbaik dalam mempertahankan hak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Karnival Aidilfitri Isma Kuantan di Masjid Tepian Putra di sini, hari ini.