KUANTAN - Berniaga makanan di bazar pada bulan Ramadan sememangnya memerlukan persiapan rapi bagi mengelak makanan yang dijual tercemar dan sebagainya.

Malah pada bulan Ramadan, isu keracunan makanan dan makanan basi seperti sudah sinonim apabila ada segelintir peniaga mengambil mudah soal kebersihan.

Namun bagi peniaga di Bazar Ramadan Indera Mahkota 8, Paiezuman Othman, 49, soal kebersihan tidak boleh dipandang remeh terutama apabila berniaga di bazar Ramadan.

Menurutnya, pengalaman berniaga makanan lebih 20 tahun membuatkan dia cukup faham mengenai soal kebersihan dalam penyediaan makanan.

“Saya menyediakan lebih 30 jenis lauk pauk yang dijual di bazar. Oleh itu, pengurusan masa untuk menyediakan kesemua lauk tersebut perlu dirancang dengan baik kerana waktu jualan bermula jam 3 petang ke atas.

“Biasanya, untuk penyediaan bahan mentah, semua bahan dibersihkan pada jam 10 pagi seperti membersihkan ayam, menyiang ikan selain pelbagai jenis sayuran,” katanya kepada Sinar Harian.

Bapa kepada tujuh  anak itu berkata, tukang masaknya, Ramlah Nor, 54, akan mula memasak pada jam 12 tengah hari.

Katanya, tempoh masa itu mencukupi untuk menyediakan semua lauk pauk untuk dijual di bazar bermula jam 3.30 petang.

Dia yang berniaga di bazar itu sejak empat tahun lalu berkata, peniaga perlu mengutamakan aspek kebersihan bagi mengelak makanan yang dijual basi dan sebagainya.

“Sebagai peniaga, kita tak boleh fikir untung sahaja tetapi yang penting buat dengan jujur dan ikhlas apatah lagi kita menyediakan makanan untuk orang berbuka puasa.

“Setiap tahun juga pihak bertanggungjawab juga menjalankan pemeriksaan di bazar supaya peniaga patuh pada arahan.

“Saya akan pastikan semua pekerja mengenakan pakaian sesuai selain memakai apron, topi, mempunyai kad kesihatan, tidak memakai aksesori selain berkuku pendek,”katanya.

Paiezuman berkata, dia tidak pernah berkompromi terhadap aspek kebersihan kerana pelanggan juga sudah bijak menilai.

Jelasnya, pelanggan akan datang kembali jika mereka suka dan berpuas hati dengan makanan yang dijual.

“Kepercayaan pelanggan penting kerana sekali mereka percaya dan suka dengan makanan yang kita sediakan, dia akan jadi pelanggan tetap malah membawa rakan-rakan yang lain,”katanya.

Atas komitmennya yang sentiasa menitik beratkan soal kebersihan, Paiezuman pernah dianugerahkan Gerai Cemerlang pada tahun 2015.

Katanya, dia berharap dapat mengulangi kejayaan mendapatkan anugerah sama tahun ini.

Paiezuman berniaga pelbagai jenis lauk pauk antaranya ayam percik, ikan bakar, kerabu pegaga, ikan percik, ayam masak merah, ikan sambal, sotong sambal dan sotong singgang.

Bagi seorang lagi peniaga ayam golek di Bazar Mahkota Square, Zuraini Che Omar, 34, pula berkata, penyediaan ayam goleknya dilakukan sebaik mungkin bagi mengelak sebarang insiden seperti keracunan makanan.

Katanya, dia akan memastikan ayam dicuci dengan bersih selain memastikan tiada lalat hinggap.

“Dalam masa sama, ayam golek berkenaan dimasak dengan sekata sekurang-kurangnya dalam tempoh 45 minit  bagi mengelak ia mentah atau tidak masak.

“Saya juga elak menjual ayam yang tidak habis dijual pada hari seterusnya. Bagi saya kalau tak habis, kita boleh sedekah kepada sesiapa,”katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Bazar Ramadan merupakan antara tempat yang sering menjadi perhatian orang ramai sepanjang Ramadan terutama masyarakat Islam dalam memudahkan penyediaan juadah berbuka puasa kepada keluarga.
  • KEMAMAN - Segelintir pengendali makanan di bazar Ramadan di daerah didapati masih mengabaikan aspek kebersihan makanan yang boleh mengundang kes keracunan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.